PAS yakin pertahan DUN Sanglang
Penyandang kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Sanglang Hashim Jasin dari PAS yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihanraya umum kali ini.
Kerusi itu satu-satunya yang berjaya dikuasai parti pembangkang itu pada 2004.
Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Perlis berkata, keyakinan tersebut berasaskan kepada keadaan 1999 yang menurutnya, berulang kembali dalam pilihanraya ini.
Dalam pilihanraya 2004, Hashim memenangi DUN Sanglang dengan majoriti tipis 45 undi. Beliau mendapat 3221 undi manakala calon BN, Datuk Mastika Junaidah Husin dari Umno memperolehi 3176 undi.
"Saya bersyukur proses penamaan calon berjalan dengan baik dan ini menunjukkan rakyat sudah matang politik," katanya selepas menyerahkan borang pencalonan pagi tadi.
"Harapan kami bertambah tinggi untuk menang lebih besar lagi dalam pilihanraya kali ini.
"Saya merasakan walaupun Datuk Seri Shahidan Kassim mahu sapu bersih semua kerusi, tetapi yang juga menaruh harapan yang tinggi kerana suasana 1999 akan berulang lagi dalam pilihanraya kali ini," tambah Hashim.

