Perubahan besar selepas pilihanraya?
Ahli-ahli politik veteran termasuk menteri besar dan menteri kabinet yang sebelum ini diramalkan tidak tersenarai, telah dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum kali ini.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun bertanding semula, jika menang, tiada jaminan bahawa mereka akan dilantik semula ke jawatan masing-masing.
Biar pun menang besar pada 2004, Abdullah masih mengekalkan ramai anggota kabinet yang dilantik sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, beberapa menteri besar termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (Perak), Datuk Abdul Ghani Othman (Johor), Datuk Adnan Yaakob (Pahang) dan Datuk Mohd Ali Rustam (Melaka) dan beberapa menteri kabinet disebut-sebut digugurkan atau dipindahkan ke peringkat pusat.
Bagaimanapun semua mereka dikekalkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.
Ekoran itu tercetus spekulasi bahawa mereka, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri masing-masing, akan dilantik semula sebagai menteri besar.
Tiada janji
Jika ia menjadi kenyataan, ini bermakna mereka juga mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno yang dijangka diadakan tahun ini.
Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun lalu, telah ditangguhkan selama 18 bulan sehingga selepas selesai pilihanraya umum ke-12.
Dalam satu temubual eksklusif dengan New Straits Times hari ini, Abdullah membayangkan satu perubahan besar mungkin dilakukan selepas pilihanraya umum 8 Mac ini.
"Saya tidak membuat sebarang janji kepada sesiapa pun. Saya bebas membuat pilihan (selepas pilihanraya umum)," lapor agensi berita AFP yang memetik temubual tersebut.
"Saya tidak menjanjikan apa-apa kepada sesiapa pun, sama ada dilantik semula dalam kabinet atau sebarang jawatan lain," tambahnya.
Abdullah menyerahkan kertas pencalonannya untuk mempertahankan parlimen Kepala Batas pagi tadi. Beliau akan dicabar oleh Subri Mat Arshad dari PAS.

