SPR: Tiada pencalonan ditolak
Tidak ada pencalonan yang ditolak kerana masalah teknikal, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman ini.
Menurutnya, proses pencalonan di 222 pusat penamaan calon hari ini bagi pilihanraya umum 8 Mac depan berjalan lancar.
Di samping itu, katanya, jumlah calon yang menang tanpa bertanding juga berkurangan daripada 2004.
Dalam temubual dalam TV3, Abdul Rashid berkata, semua mereka menang tanpa bertanding itu kerana tidak mempunyai lawan, bukannya masalah pencalonan yang ditolak.
Beliau berkata, proses pencalonan hari ini merupakan yang paling baik, paling lancar dan paling licin yang pernah diadakan, lapor Bernama yang memetik temubual tersebut.
Selain itu, katanya, proses penamaan calon hari ini juga berjalan dalam suasana yang aman.
Senarai penuh calon
Abdul Rashid berkata keputusan rasmi senarai semua calon Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diketahui selepas jam 3 petang ini.
Di samping itu, katanya, semua calon diberi tempoh tiga hari untuk menimbang sama ada akan bertanding atau sebaliknya.
Abdul Rashid juga ditanya mengenai peraturan baru SPR yang mensyaratkan semua calon perlu mengemukakan borang Akuan Bersumpah serta duti setem.
Menurutnya, oleh kerana notis yang pendek, ada juga timbul masalah tersebut tetapi dari segi teknikalnya SPR masih terima pencalonan mereka itu.
Katanya, tiada pencalonan ditolak kecuali kecuali calon itu hilang kelayakan seperti muflis.

