Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam pilihanraya umum lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lee Hwe Beng menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

Dalam pilihanraya umum kali ini, beliau berpindah ke kerusi parlimen Kelana Jaya dan akan berdepan dengan dua pencabarnya, seorang daripadanya Loh Gwo Burne - 'jurugambar' klip video Lingam - dari PKR.

nomination day kelana jaya 240208 candidates Seorang lagi, calon bebas Billi Lim, 57, seorang penulis dan pakar motivasi yang pernah bertanding, juga sebagai calon bebas, di parlimen Bukit Bintang.

Manakala Lee memang sudah dikenali oleh pengundi di kawasan tersebut, Loh dan Billi pula merupakan muka baru di situ.

Ketika ditemui, Loh berkata sebelum ini penduduk di situ tidak berminat mengenai isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka.

Tetapi, katanya, kini keadaan sudah berubah dan setiap kali beliau bercakap, ia mendapat perhatian daripada mereka.

nomination day kelana jaya 240208 pkr banners "Ramai yang meminta saya bertanding. Jika terpilih, saya percaya dapat menyuarakan masalah mereka dengan lebih berkesan," kata Loh.

Lim pula menegaskan impiannya untuk melihat sebuah negara Malaysia "yang tidak dikenali melalui warna kulit".

"Jika rakyat Amerika Syarikat boleh memilih seorang penduduk berketurunan Afrika, tiada sebabnya untuk rakyat Malaysia meneruskan amalan politik perkauman," katanya yang sudah menetap di Subang Jaya sejak 10 tahun lalu.

"Saya yakin pengundi mengenali saya dan kerja-kerja yang saya lakukan di sini sejak 12 tahun yang lalu," tambah Lim.

Seri Setia

nomination day kelana jaya 240208 pkr Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad - setiausaha sulit ketua umum PKR Datuk Anwar Ibrahim - akan bertanding di kerusi DUN Seri Setia.

Ditanya mengapa beliau membabitkan diri dalam politik, calon muda itu berkata politik adalah satu-satunya jalan untuk membawa perubahan di negara ini.

Menurutnya, kadar jenayah serta kos sara hidup yang kian meningkat, menjadi isu utama kempennya pada pilihanraya umum ini.

Katanya, begitu juga dengan kes Sharlinie yang berlaku tidak jauh dari kawasan DUN yang ditandinginya.

"Pengundi tidak senang apabila 300 anggota polis ditugaskan memantau ceramah Anwar baru-baru ini tetapi pada hari biasa, tidak seorang pun yang kelihatan," katanya.

Bagaimanapun, Nik Nazmi mempunyai tugas berat berdepan dengan penyandang kerusi tersebut Datuk Seripah Noli Syed Hussin yang sebelum ini menang dengan majoriti 11,141 undi.

Subang Jaya

nomination day kelana jaya 240208 bn women Bagi DUN Subang Jaya, DAP mencalonkan Hannah Yeoh, 29, untuk mencabar Ong Chong Suan dari MCA.

"Saya menawarkan diri untuk mewakili penduduk di sini," kata Yeoh.

"Saya percaya dapat menyuarakan isu-isu seperti kepadatan pembangunan serta masalah jenayah, untuk menjadikan Subang Jaya tempat yang terbaik untuk dihuni," katanya.

Turut kelihatan di pusat penamaan calon di Kelana Jaya pagi tadi, ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Ditanya sama ada beliau tidak terkilan kerana tidak dicalon bertanding, bekas MB Selangor itu berkata matlamat beliau sekarang ialah untuk memastikan calon-calon BN menang di Kelana Jaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS