Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming percaya kini wujud tanda-tanda 'dinasti Ong bersaudara' sedang muncul dalam MCA pada pilihanraya umum kali ini.

Nga berkata presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dan abangnya, setiausaha agung parti itu, Ong Ka Chuan sedang mengukuhkan pegangan mereka dalam parti sejak menjelang pilihanraya lagi di seluruh negara.

"Memandangkan tokoh Nombor Dua dalam MCA Datuk Seri Chan Kong Choy tidak bertanding dan Ka Chuan kini mendapat kerusi selamat, ini mengesahkan khabar angin bahawa MCA akan mempunyai menteri kabinet adik-beradik yang pertama.

"(Keadaan) ini tidak kurang daripada penciptaan 'dinasti Ong bersaudara'," jelasnya.

Ka Chuan bertanding di kerusi parlimen Tanjung Malim.

Nga meluahkan rasa simpatinya kepada Chan, bekas menteri pengangkutan, kerana tidak dapat bertanding pada pilihanraya 8 Mac ini.

"Sebenarnya, Chan tidak bertanding kerana beliau tidak gembira dengan Ong bersaudara.

"Kita dapat lihat dengan jelas senarai calon MCA dalam pilihanraya ini milik kem Ong bersaudara," katanya selepas sidang media parti itu semalam.