PKR dakwa calon ditawar RM1 juta
PKR mendakwa wujud usaha membeli calon-calon PKR dan parti-parti pembangkang supaya menarik diri daripada terus bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.
Sehubungan itu, PKR mendesak pihak-pihak berwajib, terutama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis supaya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata, kawalan pihak berkuasa perlu bagi memastikan pilihanraya kali ini tidak dicemari amalan rasuah.
"Kami mempunyai bukti jelas bahawa seorang calon negeri di Selangor telah diberi bayaran tinggi supaya tidak hadir masa pencalonan semalam.
"Kami juga menganggap bahawa permainan kotor berlaku di Johor sehingga seorang menteri menang tanpa bertanding," katanya.
Tawar RM1 juta
Walaupun Dr Syed Husin tidak menyatakan secara khusus tetapi dipercayai ia merujuk kepada kerusi-kerusi DUN Sementa dan parlimen Pengerang.
Semalam, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Palil menang tanpa bertanding apabila calon PKR yang diumum untuk bertanding, Suzaimi Salam, tidak muncul menyerahkan borang pencalonan.
Datuk Azalina Othman Said pula menang tanpa bertanding di Pengerang, Johor.
Dr Syed Husin mendakwa, selepas senarai calon diumumkan, beberapa orang calon PKR peringkat parlimen dan negeri, telah dihubungi dan ditawarkan jumlah wang yang banyak supaya mengisytiharkan menarik diri daripada bertanding.
Beliau mendakwa lagi, seorang daripada mereka ditawarkan RM1 juta di sebuah kawasan parlimen yang ditandingi seorang menteri kanan.

