Gugur Rahman: Peluang Hadi cerah
Pengguguran Datuk Abdul Rahman Bakar, penyandang kerusi Marang, bakal menjadi faktor utama yang menyulitkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ahmad Ramzi Muhammad Zubir mengekalkan kerusi tersebut di tangan parti itu.
Pengundi-pengundi di kawasan parlimen seramai 74,813 pemilih itu, termasuk penyokong Umno sendiri, menjangkakan ramai penyokong Abdul Rahman akan memberi undi protes kepada calon baru BN itu.
Dr Ahmad Ramzi berdepan dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga penyandang kerusi DUN Rhu Rendang dalam kawasan parlimen tersebut.
Penyokong Abdul Rahman, yang juga ketua Umno bahagian Marang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, melancarkan protes terbuka sejak senarai calon BN Terengganu diumumkan dan mendesak beliau dicalonkan semula.
Desas-desas sehari dua sebelum penamaan calon semalam menyebut senarai awal akan berubah untuk membolehkan Abdul Rahman disenaraikan semula, menggantikan ahli politik muda itu, 36, yang juga setiausaha politik Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh.
"Sentimen orang marah, terutama di kalangan orang tua, kerana ketua Umno bahagian Marang itu digugurkan masih ada," kata Mamat Idris,68, kepada Malaysiakini yang membuat tinjauan di kalangan penduduk Marang semalam.
"Lagipun calon baru BN, Dr Ahmad Ramzi orang ramai tidak kenal berbanding Abdul Rahman," tambahnya.
Dalam pilihanraya umum 2004, Abdul Rahman mengalahkan Abdul Hadi dengan majoriti 163 undi. Abdul Hadi yang menang tiga kali di kerusi itu sejak 1986 tidak asing lagi dengan pesaing ahli politik veteran Umno itu.
Penyokong Umno dari Kampung Mak Kemas berkata, orang ramai masih bercakap mengenai pengguguran Abdul Rahman.
"Ramai lagi orang yang mahu Abdul Rahman bertanding. Dan ramai juga yang marah (Datuk Seri) Idris Jusoh kerana tidak memberi peluang Abdul Rahman bertanding sekali lagi," katanya.
Sementara itu Hawa Sidik pula berkata, rakyat marah kerana kerajaan negeri yang ada sekarang terlalu banyak membazir melalui projek mewah yang tidak memberi faedah kepada rakyat tempatan.
Menurutnya, projek-projek pula diberikan kepada orang luar Terengganu, manakala rakyat tempatan tidak mendapat apa-apa.
"Kerja apa yang ada untuk orang Terengganu? Orang kampung kerja apa? Orang kampung tanam padi, menoreh pokok getah," katanya.
Azman Jusoh, dari Surau Panjang, pula berkata berdasarkan sokongan di hari penamaan calon, Abdul Hadi akan menang kali ini.
Katanya, satu lagi kelebihan ialah penyokong PAS tidak pernah berbelah bahagi menyokong Abdul Hadi sejak dahulu lagi.
Lebih kurang 4,000 penyokong PAS hadir di hari penamaan calon semalam yang dibuat di pejabat daerah Marang, manakala 2,500 penyokong Umno mengiringi Dr Ahmad Ramzi, seorang lulusan Universiti Al-Azhar.
Ketika ditemui Malaysiakini kelmarin, calon BN itu berkata penyokong Umno yang marah gara-gara pengguguran calon sudah mula menyatakan sokongan kepada parti itu.
"Masih ada satu dua tempat yang memprotes tetapi secara keseluruhannya telah reda. Mereka yang sebelum ini datang berjumpa Menteri Besar sudah tidak lagi berbuat demikian.
"Ahli dan penyokong Umno di Marang sudah mula membuka bilik gerakan dan memasang semula poster Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini mereka turunkan," katanya.
Sementara itu di sebelah malam, sewaktu menyampaikan ceramah sulungnya, Abdul Hadi mendakwa Umno hanya membantu orang Melayu ketika musim pilihanraya kerana mereka mahu mendapatkan undi mereka.
"Slogan bahawa Umno akan membantu rakyat hanya sebagai bahan kempen pilihanraya umum sahaja.
"Mereka bantu sikit-sikit sahaja... nak dapat undi mereka sahaja," katanya di Kampung Gong Kiat.
Kira-kira 300 penduduk kebanyakannya petani hadir di majlis tersebut dan mereka tidak berganjak walaupun hujan turun kira-kira jam 11 malam.
Abdul Hadi mendakwa lagi, pelbagai projek yang dilaksanakan di Terengganu bawah menteri besar sekarang hanyalah untuk kroni pemimpin politik tertentu sahaja.
"Kontraktor Umno sendiri mengadu mereka marah kerana tidak mendapat projek-projek yang dibuat di Terengganu," katanya.

