Menteri Besar Terengganu membidas tindakan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan bersalam dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir selepas proses penamaan calon semalam.

Katanya, tindakan Abdul Hadi itu tidak mencerminkan perwatakannya sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

idris jusoh 00 Menurut Idris, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Dr Ahmad Ramzi, yang bertanding kerusi parlimen Marang menentang Abdul Hadi, kepadanya semalam.

"Kita boleh cakap dia angkuh dan ego. Menjawab salam (berjabat tangan) itu fardu bukan budaya dan dia sebagai seorang pemimpin Islam tidak patut berbuat demikian...tetapi inilah PAS.

Agensi berita Bernama memetik Idris sebagai berkata: "Sebagai orang Islam kita (Ramzi) menghulur tangan untuk bersalam dan juga sebagai tanda hormat kepada beliau (Abdul Hadi) yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu.

"Tapi semasa Ramzi hendak bersalam, dia kata "dok payoh" (tidak payah)," katanya semasa menghadiri program makan pagi bersama Menteri Besar di Rhu Muda hari ini.

Idris meluangkan masa kira-kira 40 minit pada majlis anjuran Umno bahagian Marang itu, yang turut dihadiri Ahmad Ramzi dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Razali Idris.

Bagi kerusi DUN Rhu Rendang, Razali akan berdepan pemimpin nombor satu PAS itu, penyandang kerusi tersebut.