Dewan Muslimat PAS pusat mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi calon-calonnya pada pilihanraya umum 8 Mac.

PAS memperuntukkan lima kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN untuk ditandingi oleh pemimpin-pemimpin Muslimat.

Dalam satu kenyataan sayap wanita itu, setiausahanya Aiman Athirah Al Jundi berkata Muslimat mengucapkan tahniah kepada bendahari Dewan Muslimat pusat, Wan Ubaidah Omar, yang menang tanpa bertanding di kerusi DUN Kijang, Kelantan semalam.

"Kemenangan awal ini sesungguhnya akan menjadi pendorong kepada semua calon Muslimat PAS yang lain untuk gigih bekerja bagi mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum kali ini," katanya.

Secara keseluruhannya, tambahnya, jika tidak wujud sebarang penipuan dalam penjalanan pilihanraya ke-12, Dewan Muslimat percaya parti itu akan mampu mengambilalih semula Terengganu.

PAS juga mampu menubuhkan kerajaan di Kedah dan Perlis serta mencatat kemenangan dan mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan.

"Semua (harapan) ini berdasarkan kepada peningkatan prestasi dan tumpuan gerak kerja jentera pilihanraya Muslimat iaitu Halwa di seluruh negara yang telah sempat saya lawati dalam tempoh kurang lebih seminggu yang lepas," katanya.