Penduduk Kuala Terengganu memberi pelbagai reaksi mengenai tokoh popular PAS Mohamad Sabu yang bertanding di parlimen Kuala Terengganu pada pilihanraya umum kali ini.

Bagi generasi yang lebih tua, nama naib presiden PAS itu sudah dikenali umum dan tidak perlu diperkenalkan lagi.

Bagaimanapun, bagi generasi muda itu, nama itu tidak begitu dikenali melainkan melalui media massa.

Dalam pilihanraya 8 Mac, Mohamad akan menghadapi penyandang Datuk Razali Ismail (BN) dan Maimun Yusuf, calon bebas. Pada 2004, Razali menang dengan majoriti 1,933.

Pilihanraya 1999, kerusi ini dimenangi oleh PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, kali ini bertanding di DUN Batuk Buruk, satu daripada empat kerusi negeri bawah parlimen itu.

Malaysiakini meninjau secara umum sama ada mereka boleh menerima tokoh PAS itu, yang berasal dari Pulau Pinang dan pernah menjadi wakil rakyat di Nilam Puri pada pilihanraya 1990 dan Kubang Kerian (1995), Kelantan serta Kuala Kedah (1999), Kedah.

Osman Ali, 64, dari Kampung Pulau Kambing berkata, masa sudah berubah dan beliau tidak melihat faktor 'orang luar' sebagai ciri utama untuk memilih wakil ke Dewan Rakyat.

"Kalau orang mahu Mohamad menjadi wakil rakyat Kuala Terengganu, itu hak mereka. Bagi saya, saya boleh terima dia.

"Saya tiada masalah sama ada orang Terengganu atau orang luar jadi wakil rakyat. Masa saya kecil dulu Datuk Onn dari Johor jadi ahli parlimen Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Isterinya Salmah Awang, 59, menambah, beliau lebih suka kepada calon tempatan kerana mereka lebih memahami kehendak penduduk setempat.

Katanya, orang tempatan tentu lebih mengenali dengan lebih mendalam masalah dan keperluan mereka berbanding orang luar.

Manakala Wan Husin Jusoh, 43 dari Kampung Bukit Bayas pula berkata, ramai orang di kampungnya tidak gemar dengan Mohamad terutama dengan gaya percakapannya yang kasar dan sombong.

"Saya dengar namanya sudah (rasa) benci. Buat apa orang macam tu bertanding di sini (Kuala Terengganu)?" katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan menjawab sama ada akan mengundi calon BN pada hari mengundi 8 Mac ini.

Seorang lagi penduduk, Mat Radi Ali, 27, beliau akan cuba mempengaruhi rakan-rakannya supaya menolak calon PAS dalam pilihanraya kali ini.

"Saya tidak mahu pemimpin yang cuba membawa budaya kasar menjadi wakil rakyat di sini.

"Saya pernah mendengar kata-kata Mohamad bahawa demonstrasi perlu diadakan sedangkan ia tidak dikehendaki oleh orang Melayu di negeri ini," katanya.

Bagi Wan Dayang Wan Jusoh 34, beliau tidak mahu calon payung terjun kerana percaya calon sedemikian rupa tidak ikhlas berkhidmat.

Oleh kerana itu, katanya beliau akan memilih calon tempatan kerana lebih percaya kepadanya.

Terdapat 80,325 pemilih di kawasan ini dengan 88 peratus Melayu, 10.8 peratus Cina dan 0.6 peratus India.

Selain Batu Buruk, tempat yang terjadi rusuhan penyokong pembangkang pada September tahun lalu dan kubu kuat PAS, tiga lagi DUN dalam kawasan ini: Wakaf Mempelam, Bandar dan Ladang.

Bandar dan Ladang kubu kuat BN, manakala dua lagi kubu PAS. Bagaimanapun Batu Buruk dimenangi parti pembangkang itu dengan majoriti kecil, 140 undi.

Ketiga-tiga DUN lagi menyaksikan majoriti lebih 1,000 undi.