Umno: Sokongan pengundi naik
Selepas tiga hari berkempen, sokongan pengundi terhadap calon-calon Umno sama ada di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu semakin meningkat, kata pegawai parti itu.
Agak mengejutkan, kata setiausaha kerja perhubungan Umno negeri, Razali Bidin, sokongan para pengundi di kubu kuat PAS kepada calon Umno juga bertambah dengan banyak.
Katanya, di dua DUN PAS, Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang, pergerakan pengundi terutama di kalangan generasi muda menyebelahi Umno.
Manakala dua DUN lagi iaitu Manir dan Batu Buruk, menurut Razali, hampir pasti akan ditawan oleh Umno kerana sokongan pengundi setempat.
"Mood pengundi Terengganu sehingga hari ini hampir sama seperti dalam pilihanraya umum 2004 di mana orang ramai berminat dengan Barisan Nasional (BN).
"Tetapi ia bukan bermakna, mood ini akan berkekalan kerana petunjuk sebenar hanya boleh diketahui sehari sebelum hari mengundi iaitu 8 Mac depan," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.
Dalam pilihanraya umum lalu, BN merampas kerajaan negeri daripada PAS apabila memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN. Parti itu merampas semua lapan kerusi parlimen.
Razali berkata, ada tiga kumpulan pengundi yang dikenal pasti oleh jentera pilihanraya Umno iaitu pengundi putih, kelabu dan hitam.
Katanya, pengundi putih ialah penyokong Umno, penyokong kelabu iaitu pengundi atas pagar, manakala pengundi hitam iaitu penyokong pembangkang (PAS).
Tambahnya, Umno tidak dapat mengesan dengan pasti jumlah sebenar pengundi kelabu tetapi mengetahui lebih kurang 8,000 pemilih di setiap kawasan parlimen tidak dikenali kecenderungan politiknya kerana tinggal di luar.
Menurut Razali lagi, badan perhubungan Umno negeri di Kuala Terengganu memantau setiap bilik gerakan BN di setiap kawasan DUN dan parlimen.
Pemantauan itu, katanya, bertujuan untuk memastikan semua persiapan berjalan lancar terutama di kawasan yang agak ramai penyokong pembangkang.
Ditanya mengenai boikot oleh kumpulan penyokong pemimpin Umno tertentu yang marah kerana bekas wakil rakyat mereka digugurkan, Razali berkata, bekas ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri terbabit sudah mula datang menemui pengundi di kawasan masing-masing.
"Bekas ahli parlimen Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan wakil-wakil rakyat lain sudah bersama-sama pengganti mereka bekerja kuat untuk memastikan kemenangan calon BN," katanya.

