PAS Perak membuat aduan polis menggesa pengurus pilihanraya di parlimen Kuala Kangsar disiasat sebab menerima borang pencalonan Barisan Nasional (BN) yang tidak bertandatangan, kata pesuruhjayanya Ahmad Awang.

Parti itu mahu siasatan polis kerana mendakwa wujud "penyelewengan" apabila borang pencalonan Datuk Seri Rafidah Aziz secara tiba-tiba telah bertandatangan.

Bercakap kepada media selepas melancarkan manifesto pakatan pembangkang Perak hari ini, beliau borang Rafidah itu jelas tidak ditandatangani kerana ruangan itu kosong pada borang yang dipamerkan di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar pada Ahad lalu.

PAS Perak akan memaklumkan kejadian itu kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah, tambahnya.

"Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja Perak, jadi semestinya baginda mengambil berat isu ini dan kami akan memaklumkan kepada baginda secepat yang mungkin," katanya seperti dilaporkan Bernama .

Tambahnya, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981 mewajibkan calon menurunkan tandatangan di ketiga-tiga borang penamaan calon dengan bersaksi.

Pengurus pilihanraya menolak bantahan wakil calon PAS dengan alasan borang asal telah ditandatangani oleh Rafidah, kata Ahmad lagi, padahal kesemua borang termasuk yang dipamerkan adalah asal dan bukan salinan.

Calon PAS Dr Khairuddin Abdul Malik sendiri mendengar pengakuan Rafidah kepada pengurus pilihanraya bahawa beliau terlupa menandatangani borang itu.

Pencadang kepada calon PAS itu Md Noor Kan semalam melaporkan kes itu kepada polis.