PKR cuba goyang MIC di Kapar
Kedudukan MIC mungkin goyang di parlimen Kapar dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membuat kejutan dalam pilihanraya umum 8 Mac depan.
Lawannya kali ini ialah S Manickavasigam dari Parti Keadilan Rakyat (foto), yang lebih popular dengan panggilan Mike, yang berharap agar faktor Hindraf dan rasa tidak puas hati masyarakat India, akan mencipta kejutan di kerusi Parlimen tersebut.
Kapar mempunyai seramai 112,224 pengundi berdaftar - kawasan pilihanraya terbesar di negara ini - dengan 51.4 peratus pengundi Melayu dan 35.4 peratus pengundi Cina.
Pengundi India pula adalah 13 peratus, yang sebahagian besarnya bekerja di kilang dan ladang-ladang kelapa sawit. Pendapatan isirumah ialah kira-kira RM900 sebulan dan pastinya terjejas dengan kenaikan harga minyak dan barangan pengguna.
Tetapi rasa tidak puashati akibat diskriminasi kaum menjadi penggerak utama sejak kebelakangan ini, yang menyaksikan sokongan besar terhadap Hindraf dan para pemimpinnya. Manickavasagam juga merupakan penyokong kuat pergerakan tersebut.
“Saya mendapat sokongan hampir 98 peratus masyarakat India di sini. Kali ini, Komala akan kalah kerana pengundi tahu bahawa MIC dan ahli-ahlinya tidak berbuat apa-apa tetapi menipu rakyat," dakwanya ketika ditemui di sebuah pasar malam di Taman Intan.
.
Mike mendakwa, Komala telah dihalau ketika datang ke Taman Intan "dan apa lagi bukti yang anda perlu untuk menunjukkan bahawa MIC sudah tidak relevan lagi di sini?".
Beliau bersama para penyokongnya - semuanya kaum India - bergerak di situ sambil mengebar bendera PAS dan menlaunngkan "undi PKR dan PAS".
Bagaimanapun, bukan tugas yang mudah untuk menewaskan Komala walaupun seorang penduduk berkata sokongan pengundi Melayu 50-50 manakala pengundi Cina pula memang diketahui pro-pembangkang.
‘Jangan dengar khabar angin’
Komala bagaimanapun menolak spekulasi bahawa beliau akan kalah, tetapi menyuarakan keyakinannya untuk mempertahan kerusi tersebut.
“Kita mendapat sokongan yang kuat, bukan sahaja dari kalangan masyarakat India, tetapi juga dari masyarakat Melayu dan Cina," kata Komala selepas menemui kira-kira 50 penyokongnya dekat Taman Intan.
Komala juga menafikan wujudkan sentimen anti-BN yang kuat di kawasan tersebut.
“Tidak wujud sentimen anti-BN tetapi kekeliruan. MIC sentiasa menjadi parti pilihan di Kapar dan akan kekal begitu," katanya.
MIC, katanya, telah menangani isu-isu utama - jenayah, peluang pekerjaan dan pendidikan bahasa ibunda - yang menjadi tumpuan pengundi.
Bagaimanapun, seorang penduduk berkata, beliau kecewa dengan Komala yang didakwanya tidak sekalipun melawat Kapar selepas pilihanraya umum 2004 untuk mendengar masalah penduduk setempat.
“Kami telah menelefonnya dan menghantar SMS tetapi beliau tidak penah sekali pun menjawabnya," dakwa beliau.
Manakala seorang lagi penduduk menambah, sudah tiba masanya untuk mengajar MIC.
“Kena ajar diorang ni sikit bang, tak buat kerja. Harga barang naik, minyak naik," kata penduduk tersebut yang tidak mahu namanya disebut kerana "takut ditimpa masalah". Berita asal

