Semua penyokong Pasukan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) dinasihatkan supaya jangan membuat serangan peribadi terhadap mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN).

p waytha moorthy "Jangan beri mereka sebab untuk menuding jari dan menuduh penyokong Hindraf sebagai punca provokasi," kata pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Waythamoorty berkata beliau sedih mendengar bahawa seorang pemimpin komponen parti BN telah dihina dalam "insiden membaling kasut".

"Hindraf tidak mengalak atau mengajar tindakan-tindakan seumpama itu," katanya, yang kini tinggal di London.

Sebelum ini, tersebar khabar angin bahawa seorang wanita India telah membaling kasutnya ke arah presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu ketika beliau sedang berucap di Perai - kerusi majoriti pengundi India - pada 16 Februari lalu.

Bagaimanapun, semalam, Samy Vellu menafikan insiden tersebut berlaku sewaktu lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini.

bm lima tahanan hindraf Sementara itu, ketika mengulaskan mengenai penolakan kes habeas corpus lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA, Waythamoorthy mengucap terima kasih terhadap sokongan semua pihak.

Mereka adalah P Uthayakumar, M Manoharan, T Vasantha Kumar, V Ganabatirau dan R Kenghadharan yang ditahan pada 13 Disember lalu kerana didakwa menganjurkan perhimpunan haram pada 25 November dan juga didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

"Saya juga mengucap terima kasih kepada Karpal Singh dan anaknya, Gobind Singh di atas usaha mereka yang tidak mengenal jemu dalam mengendalikan kes tersebut.

"Marilah kita berdoa agar hakim-hakim Mahkamah Rayuan akan menggunakan kebijaksanaan mereka demi menegakkan keadilan untuk kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit."

Sebelum itu, Karpal memberitahu bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus mereka.