Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertikaikan pengumuman Bank Negara bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melonjak kepada 7.3 peratus dalam suku keempat tahun 2007.

Timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata, peratusan itu di luar dugaan kerana jangkaan kenaikan untuk 2007 oleh kerajaan sendiri ialah 6.3 peratus, berbanding dengan 5.0 peratus bagi 2006.

Malah, katanya, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kenaikannya hanya sebanyak 5.4 peratus bagi tahun 2007.

"Angka lonjakan ini boleh dipertikaikan. Adakah ia dikeluarkan semata-mata untuk membantu Umno-BN dalam kempen pilihanraya ke-12 ini?

"Bank Negara menyatakan lonjakan tersebut hasil daripada perbelanjaan pengguna yang bertambah, disokong oleh aktiviti swasta yang kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang meningkat.

syed husin ali "Tidak ada bukti perbelanjaan pengguna bertambah, bahkan ini tidak mungkin sebab kuasa beli rakyat terutama sekali berkurangan akibat tiadanya peningkatan pendapatan sebenar kerana pendapatan tidak bertambah dan harga barang keperluan meningkat," kata Dr Syed Husin dalam satu kenyataan hari ini.

"Aktiviti swasta pun tidak begitu kukuh sebab keadaan ekonomi baru pulih lebih separuh saja selepas krisis kewangan yang bermula pada tahun 1997. Juga, jumlah dan kadar pelaburan langsung (FDI) rendah dan tidak menunjukkan tanda bertambah," tambahnya.

Taraf hidup rakyat

Dr Syed Husin berkata, kerajaan BN memang banyak menjanjikan perbelanjaan lebih besar untuk beberapa projek gergasi.

"Akan tetapi ini belum dilaksanakan. Memang ada penambahan perbelanjaan awam yang lebih kecil, tetapi adakah mereka mempengaruhi secara signifikan lonjakan KDNK itu?" katanya.

Lebih penting lagi, tegas beliau, ialah walaupun KDNK dikatakan bertambah tetapi ia tidak tercermin pada kenaikan taraf hidup rakyat ramai.

"Mengikut manifesto BN, pendapatan sebenar isi rumah di Malaysia pada tahun 2007 ialah RM3,617 berbanding dengan RM3,249 pada tahun 2004, tanpa mengambil kira inflasi.

"Ini bererti hitung panjang pertumbuhan bagi tiap-tiap tahun hanya sebanyak 3.6 peratus. Jikalau diambil kira kadar inflasi 2.6 peratus pada tempoh yang sama (mengikut indeks harga atau PI yang diumum kerajaan), maka didapati pertumbuhan pendapatan seisi keluarga ialah hanya sebanyak 1.0 peratus saja bagi tiap-tiap tahun.

"Apakah yang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Umno-BN hendak banggakan tentang kemajuan yang dicapai di bawah Umno-BN?

"Pendapatan tidak naik. Harga barang melambung. Rakyat ramai tidak mendapat faedah dari lonjakan KDNK. Tetapi hanya segelintir kecil dari golongan elit yang mengaut bahkan merompak kekayaan negara," tegas Dr Syed Husin.