Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PKR nafi tidak serah penyata
Diterbitkan:  Feb 28, 2008 1:01 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

kemaskini 4:40pm Calon PKR di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, didakwa tidak menghantar penyata perbelanjaan pilihanraya lepas dan boleh membawa risiko digugurkan sebagai calon.

Difahamkan, dua aduan berasingan telah dibuat oleh dua pemilih di kawasan itu - kepada polis dan juga Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Zulkifli bagaimanapun menafikannya dan menyifatkan desas-desus itu sebagai permainan politik lawannya.

Peguam itu, pernah terlibat dalam pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa isu itu sengaja disebarkan untuk memberikan tekanan kepadanya agar menarik diri.

zulkifli noordin Ditanya sama ada beliau mempunyai bukti tentang penyerahan tersebut, Zulkifli berkata ringkas, penyerahan penyata tersebut tidak disertai dengan resit atau dokumen hitam putih.

"Satu bukti mudah untuk mengetahuinya ialah apabila calon mendapat semula wang deposit," katanya, sambil menambah wang itu tidak akan diserahkan jika calon gagal menyerah penyata perbelanjaan.

"Saya terima wang deposit itu. Banyak tu, RM15,000. Siapa tidak mahu (ambil semula)?" katanya, yang bertanding di parlimen Kuala Langat pada 2004.

Seseorang calon diperlukan membayar deposit RM10,000 untuk bertanding bagi kerusi parlimen dan RM5,000 untuk kerusi DUN semasa mengemukakan borang pencalonan mereka. Selebihnya wang cagaran untuk kebersihan bahan-bahan kempen yang disyaratkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada Ahad lepas, calon PKR di DUN Bukit Selambau, Saiful Izham Ramli, tidak dibenarkan bertanding akibat gagal menyerahkan penyata tersebut. Beliau bagaimanapun mendakwa telah menyerahkannya tetapi hujahnya ditolak oleh pegawai pengurus pilihanraya.

Kerusi negeri itu akhirnya menyaksikan persaingan calon BN dengan calon bebas.

Menurut sumber-sumber yang dekat dengan calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, mereka tidak mengetahui perkara itu pada hari penamaan calon.

Dengan itu, tambah sumber, mereka tidak membantahnya.

Berhubung dakwaan laporan polis tersebut, Zulkifli menambah beliau tidak dihubungi atau disiasat polis hingga kini.

"Setakat saya tahu, bantahan hanya pada hari pencalonan. Jika pegawai pengurus pilihanraya sudah mengiktiraf saya sebagai calon, maka saya jadi calon," katanya.

Calon PKR tewas di kerusi itu dengan majoriti 7,998. Manakala dua kerusi DUN bawahnya - Kulim dan Bandar Baharu - masing-masing dikuasai BN dengan 7,365 dan 3,878 undi.

Zulkifli berkata beliau yakin mempunyai peluang yang cerah menang di kerusi itu memandangkan sokongan pengundi India dan Cina yang meningkat di dua kerusi DUN itu.

"Berbeza dengan orang Melayu, kaum Cina dan India kelihatan telahpun membuat keputusan calon yang hendak dipilih. Rata-rata mereka memberi pengakuan akan memberi undi kepada PKR," katanya di blog kempennya 'Zul for Kulim'.

"Culaan yang dibuat setakat ini menunjukkan hampir 65 peratus masyarakat Cina menyokong PKR; dan masyarakat India lebih 80 peratus."

Terdapat 16.7 peratus pemilih Cina, 16.1 peratus (India) di Kulim, dan 16.2 peratus (Cina), 6.8 peratus (India) di kerusi satu lagi.

Kulim ditandingi calon PKR Lim Soo Nee melawan BN Lim Lee Choo, manakala kerusi satu lagi ditanding calon PAS Yaakob Husin mencabar penyandang BN Datuk Azimi Daim.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Kulim-Bandar Baharu termasuk empat kawasan kritikal di Kedah, susulan pergelutan dalaman Umno. Tiga lagi di Baling, Sik dan Sungai Petani.

Pembangkang menguasai satu sahaja kerusi, di Pendang pada 2004 - kini menjadi sasaran utama BN.

Sementara itu Zulkifli menambah, beliau akan membuat laporan polis beberapa hari lagi terhadap penyebaran cakera padat video di Kulim-Bandar Baharu yang memburuk-burukkan Anwar.

ADS