eksklusif Bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam menafikan dakwaan bahawa beliau telah menemui 'orang-orang tingkat empat' di pejabat Perdana Menteri untuk dipilih semula bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

s subramaniam interview 280208 anger "Saya tidak pernah jumpa 'orang tingkat empat'. Saya ada jumpa Perdana Menteri dari masa ke semasa (tetapi) tiada sebarang perbincangan mengenai kerusi (pilihanraya)," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini semalam.

'Orang tingkat empat' merujuk sekumpulan penasihat kepada Perdana Menteri - yang didakwa oleh banyak pihak mempunyai pengaruh kuat dalam penentuan dasar-dasar dalam pentadbiran kerajaan.

Istilah ini pertama kali dipopularkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006 ketika memuncaknya krisis dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mereka turut dikaitkan dengan menantu perdana menteri - Khairy Jamaluddin - yang juga naib ketua Pemuda Umno Malaysia dan calon Barisan Nasional (BN) di parlimen Rembau.

Subramaniam berkata spekulasi kononnya beliau akan diberi kerusi untuk bertanding dalam plihanraya kali ini dilaporkan oleh sebuah akhbar harian bahasa Tamil, Malaysian Nanban , yang disifatkannya sebuah akhbar yang "tidak menyokongnya dan juga tidak menentangnya".

s subramaniam interview 280208 talk Ekoran laporan tersebut, katanya, akhbar-akhbar utama telah bertanya sebanyak dua kali kepada Perdana Menteri mengenai laporan tersebut.

Perkara itu menjadi semakin panas apabila timbul pula laporan yang menyatakan beliau mungkin bertanding menentang Datuk Seri S Samy Vellu di Sungai Siput atau calon BN di tempat lain.

Ketika diminta mengulas mengenainya, Subramaniam berkata beliau akan tetap taat setia kepada MIC dan tidak akan bertanding menentang mana-mana calon BN, apatah lagi Samy Vellu.

'Percubaan orang dalam'

Bekas timbalan presiden MIC itu mengesyaki desas-desus itu satu percubaan oleh orang dalam parti itu yang mempunyai kepentingan untuk melihat "beliau dibuang terus dari parti tersebut".

"Ia merupakan serampang dua mata - satu untuk melihat saya bertanding dan dipecat sebagai ahli, satu lagi menunjukkan seolah-olah Datuk Seri Samy Vellu sudah terlalu lama (memimpin parti) dan sudah tiba untuk beliau bersara," kata Subramanian.

Jelas sekali, kata beliau, dapat ditelah siapakah yang "untung" jika semua itu menjadi kenyataan.

g palanivel Walaupun Subramaniam tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada timbalan presiden MIC sekarang, Datuk G Palanivel.

Subramaniam berkata, "kumpulan-kumpulan berkepentingan tersebut" mahu melihat beliau bertanding menentang Samy Vellu atau mana-mana calon BN supaya beliau "boleh dibuang terus" daripada MIC.

"Menurut perlembagaan MIC, saya boleh dipecat jika bertanding (menentang calon BN)," tambahnya.

Subramaniam juga membidas tulisan seorang penulis bebas yang disiarkan dalam Malaysiakini baru-baru ini.

Laporan bertajuk 'Subra bows out after raising expectations' menyatakan bahawa bekas timbalan presiden MIC itu akan menjadi seorang hero jika beliau bertanding menentang Samy Vellu dalam pilihanraya umum kali ini.

'Pakatan sulit'

"Ini adalah satu percubaan oleh seseorang yang berkepentingan... Jika Datuk Seri Samy Vellu bersara esok, bukan saya yang dapat manfaatnnya, saya tidak akan dapat menggantikannya, saya bukanlah timbalan presiden," kata Subramaniam.

s subramaniam interview 280208 shocker

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Palanivel dan sama ada timbalan presiden MIC itu masih menganggapnya sebagai musuh, Subramaniam menjawab: "Saya tidak mengatakan beliau orang yang bertanggungjawab (terhadap percubaan tersebut)."

"Saya tidak berminat sama ada beliau (Palanivel) masih anggap saya sebagai satu ancaman atau tidak," tambahnya.

Subramaniam tewas kepada Palanivel dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden MIC pada 2006. Palanivel mendapat sokongan penuh Samy Vellu yang tidak sehaluan dengan Subramaniam.

mic deputy presiden contest subra palanivel 040606 "Artikel tersebut (mengenai saya bertanding dalam pilihanraya umum) sepatutnya ditulis pada tahun 2004 ketika saya menjadi timbalan presiden, jadi saya akan dapat manfaatnya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada percubaan tersebut merupakan satu pakatan terhadapnya.

"Tetapi sudah jelas siapakah yang akan dapat manfaatnya," kata beliau.

Ketika dihubungi kemudiannya, Palanivel berkata: "Biarlah mereka kata apa pun. Ahli Politik yang tersilap langkah akan berakhir dengan kegagalan."