Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perjuangan parti PAS hanyalah "indah khabar dari rupa".

"Sebab dia dok main bulan sahaja, tapi habis tinggi bulannya (bendera PAS) atas pokok nyior sahaja. Tetapi kita sampai angkasa lepas.

"Jika kita marah pada parti (Umno) pun, kita lebih derita jika PAS yang memimpin kita," katanya dalam majlis perjumpaan dengan jentera BN di pejabat Umno Sik, hari ini.

Beliau berharap seluruh masyarakat menumpukan perhatian kepada parti kerana masa depan mereka lebih cerah jika BN menang di kawasan itu.

Sementara itu Bernama turut melaporkan, Najib membayangkan kemenangan besar bagi calon-calon Barisan Nasional (BN) di kawasan parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bawahnya.

Katanya, jentera pilihanraya BN adalah senjata paling tajam untuk berhadapan dengan pembangkang.

Calon BN bagi Sik ialah Datuk Othman Desa manakala calon DUN Jeneri pula Datuk Habsullah L. Isa dan calon DUN Belantek, Mohd Tajuddin Isa.

"Malah musuh politik kita gentar apabila mendengar nama jentera BN. Sama ada calon parlimen atau DUN, kita kena pastikan jentera kita padu dan bekerja kuat untuk menjamin kejayaan calon BN," katanya.

Najib yang juga timbalan pengerusi BN dan timbalan presiden Umno, melahirkan rasa lega melihat seluruh jentera BN begitu bersemangat menghadapi pilihanraya.

"Air muka mereka ceria hari ini. Selepas penamaan calon, nak kata sugul, tidak juga. Tetapi hari ini sudah bertukar wajah. Cuaca mendung sudah berganti cuaca lebih cerah," katanya.

Beliau dipercayai merujuk masalah dalaman di bahagian itu akibat pertukaran calon. Malaysiakini sebelum ini melaporkan empat kawasan kritikal di Kedah termasuklah Sik. Tiga lagi di Baling, Sik dan Sungai Petani.

Pembangkang menguasai satu sahaja kerusi, di Pendang pada 2004 - kini menjadi sasaran utama BN.

Najib mengingatkan kesemua jentera BN supaya meletakkan kepentingan parti melebihi pertimbangan lain yang membuktikan kesetiaan kepada parti.

Beliau berkata bekas anggota parlimen Sik, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan kedua-dua bekas calon BN Datuk Dr Wan Azmi Ariffin dan Ismail Harun (bekas ADUN Jeneri) yang hadir pada majlis itu akan membantu calon muka baru BN untuk menghadapi pilihanraya.