"Bapa mertua banyak memberi tunjuk ajar dalam politik sudah sekian lama sebelum saya menjadi menantu beliau. Tapi kami mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza. Dia dengan caranya, saya dengan cara saya tetapi tidak menyimpang dari matlamat utama BN," kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Roselinda Abdul Jamil.

roselinda abdul jamil Ketua Puteri Umno Umno Klang ini menggantikan bapa mertuanya, Datuk Zakaria Md Derus yang tidak dicalonkan semula bertanding di kerusi tersebut dalam pilihanraya umum kali ini.

Namun begitu, menjadi calon bagi menggantikan bapa mertuanya itu bukanlah situasi yang mudah bagi Roselinda Abdul Jamil.

Beliau perlu menangkis tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat terutama parti pembangkang tetapi pada masa yang sama, perlu membuktikan dirinya mampu untuk memikul tanggungjawab selaku wakil rakyat sepertimana muka lama yang mempunyai aura tersendiri.

zakaria deros (updated) Sebelum ini, Zakaria terbabit dengan kontroversi berhubung pembinaan banglo mewahnya tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di mana beliau merupakan salah seorang ahlinya, ketika itu.

MPK juga bertindak terhadap Zakaria kerana membina premis perniagaan tanpa kebenaran majlis perbandaran tersebut.

Roselinda berdepan dengan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Bebas Nazir Mansor dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Abdullah di kerusi itu pada pilihanraya umum 8 Mac ini.

Dalam pilihanraya umum lalu, Zakaria memenangi kerusi itu dengan majoriti 7,237 undi menewaskan P Krishnasamy dari PKR.

Misi kempen

DUN Pelabuhan Klang mempunyai 28,456 pemilih berdaftar dengan Melayu (56.4 peratus), Cina (27 peratus), India (15.9 peratus) dan lain-lain (0.42 peratus).

Bagi Roselinda, 32, atau lebih mesra dengan panggilan 'Alin' atau 'Lin', beliau berharap orang ramai dapat menerima keadaan itu dan berfikir secara positif.

Bagi calon BN, tidak ada istilah 'tumpang populariti' namun tidak pernah menafikan populariti bapa mertuanya itu diibaratkan seperti 'gula dihurung semut'.

"Kenali siapa saya dulu. Kenali saya kerana kepimpinan dan hasil kerja saya membantu rakyat. Jangan ada yang kaitkan pencalonan saya adalah disebabkan oleh bapa mertua saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa berkempen di sekitar DUN Pelabuhan Klang.

Paling penting bagi ibu muda ini ialah hasrat untuk menabur bakti kepada penduduk di kawasan itu sekiranya beliau dipilih pada pilihanraya umum 8 Mac ini, membawa aspirasi tersendiri sambil diberikan sedikit panduan daripada Zakaria.

Katanya, pada masa ini, misi utama siri kempen pilihanraya beliau adalah untuk mendekati pengundi di kawasan terbabit selain 'mempromosikan' dirinya sebagai wakil yang akan menyuarakan masalah rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri untuk diberikan perhatian sewajarnya.

"Kempen saya ini macam 'serampang dua mata' di mana di samping berkempen saya perlu mewujudkan keyakinan kepada pengundi bahawa saya mampu menjadi wakil rakyat yang akan membantu mereka," katanya.

Ketua Puteri Umno Klang itu mendirikan rumahtangga dengan anak lelaki kedua Zakaria iaitu Zaidi dan dikurniakan sepasang cahayamata. Memiliki ijazah perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Roselinda pernah menjawat jawatan sebagai Eksekutif Akaun di Koperasi MCIS Berhad dari 2000 hingga 2007.

"Saya disokong penuh oleh semua anggota keluarga terutama suami dan anak-anak juga diajar untuk memahami status saya. Saya akan cuba menjadi isteri, menantu, anak, ibu serta wakil rakyat yang berjaya," katanya.