Bersih dakwa pengundi pos dapat dua kertas undi
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar proses pengundian pos bagi anggota polis dan tentera yang didakwanya tidak lagi bersifat rahsia dan telus.
"Kelihatan tidak ada sebarang perubahan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meskipun Bersih telah berkempen untuk reformasi sistem sejak dua tahun sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemerhatian yang dilakukan ke atas pengeluaran kertas undi pada hari Sabtu, 1 Mac 2008 di kawasan Parlimen Setiawangsa oleh wakil calon pembangkang, Ibrahim Yaacob, telah mendedahkan tiga kesalahan yang serius.
Kesalah tersebut ialah pencabulan hak kerahsiaan identiti pengundi; peluang terbuka untuk pihak lain mengundi bagi pihak lain; dan pendaftaran bertindan.
"Ini adalah antara sebab mengapa Bersih mendesak supaya undi pos ini dimansuhkan ke atas anggota keselamatan dan keluarga mereka," tambahnya.
Menurut Bersih, undi pos membentuk sebahagian besar daripada jumlah undi bagi setiap kawasan pilihanraya.
Di kawasan Setiawangsa sahaja, katanya, undi pos merupakan 26 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.
Kempen bantahan
"Jika integriti pengundi pos tidak terjamin, integriti pilihanraya dan komposisi parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) langsung tidak boleh dijamin.
"Ini adalah pencabulan ketara ke atas hak asasi pengundi di Setiawangsa dan kawasan lain di Malaysia yang berhasrat untuk memilih pemimpin mereka melalui sistem pilihanraya yang adil, bersih dan telus.
Sehubungan itu, Bersih menggesa rakyat – di dalam negara dan di luar negara – supaya menyokong kempen tandatangan untuk mendesak penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja Reformasi Pilihanraya selepas pilihanraya umum ke-12.
Bidang kuasa suruhanjaya diraja itu, tambahnya, adalah untuk menyemak semula proses pilihanraya dan menyiasat sebarang aduan dan dakwaan salahlaku dan kekeliruan.
"Pada masa ini, kami mendesak SPR supaya menyediakan pemerhatian sepenuhnya ke atas proses pengundian pos di kem-kem tentera dan balai-balai polis pada kadar segera untuk mengurangkan potensi penyelewengan," tegasnya.
Salahlaku dikesan
Menurut Bersih, berikut adalah merupakan salahlaku yang dikesan di dalam proses tersebut:
1. Tidak ada jaminan ke atas kerahsiaan identiti dan undi. Kit Pengundi Pos yang dikeluarkan kepada pengundi pos mengandungi Borang 2 - 'Borang Deklarasi Indentiti' yang mengandungi kedua-dua nama anggota polis dan tentera (yang mengundi) dan nombor siri kertas undi.
Dalam keadaan Borang 2 tersebut akan diletakkan di dalam sampul surat bersama-sama dengan kertas undi yang dipulangkan undi dikira, adalah sangat menggusarkan apabila pilihan yang dibuat oleh pengundi polis dan tentera akan diketahui dan mereka bakal berhadapan dengan sebarang kemungkinan sekiranya mereka mengundi pembangkang.
2. Pengundian oleh pihak lain tidak boleh dihalangkan sepenuhnya. Anggota polis dan tentera yang menjalani pengundian pos tidak perlu untuk menandakan kertas undi mereka di pusat pengundian, mereka dibenarkan untuk menandakan kertas undi mereka di mana sahaja dan kemudian memulangkan semula kertas undi tersebut di pusat pengundian, di kem tentera ataupun balai polis.
Semua ini berlaku dengan ketiadaan ejen-ejen parti politik, membawa kepada kebarangkalian besar yang sangat tidak munasabah apabila 'pihak ketiga' boleh menandakan kertas undi tersebut bagi pihak pengundi, yang mana kemudiannya akan diagihkan kepada anggota tentera/polis untuk diserahkan semula.
Malah, tuduhan ke atas 'pengundian secara proksi' yang diarahkan oleh pegawai senior polis atau tentera akan terus mencemarkan kesahihan proses pilihanraya di Malaysia, lantas meletakkan Malaysia tidak jauh berbeza daripada Negara autokratik di Asia Tengah dan Transcaucasia.
3. Pengundi bertindan. Dalam pemerhatian kami, penyediaan Kit Pengundi Pos di kawasan Setiawangsa sahaja, enam pengundi telah disertakan dengan dua kertas undi setiap seorang nama yang terlibat adalah seperti berikut:
Kod : 188/00/12/600
No Siri : 11856
Nama : Nesam Banu Bt Mohamad Fahmi
No Kad : T375594
No Siri : 3896
Nama : Husaini b Mohd Said
No Kad : T0534732
No Siri : 3897
Nama : I'sak b Ali bawah
No Kad : T0534736
No Siri : 2700
Nama : Aishah bte Che Mat
No Kad : 761007-06-5728
Kod : 118/00/12/431
No Siri : 3906
Nama : Zulkhairi b Zainun
No Kad : T533580
93 Rejimen Semboyan, WP.
No Siri : 3954
Nama : Mohd Kamal b Keliwon
No Kad : T534766
93 Rejimen Semboyan, WP.

