PKR: Umno guna mat rempit koyak poster
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, pihak Umno, terutama pergerakan Pemudanya, menggunakan anak-anak nakal bagi mengoyak poster dan membuang bendera calon PKR bagi kerusi parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Ismail.
"Anak-anak nakal ini kebanyakannya terdiri daripada mat rempit," kata Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali..
"Ketua dan naib ketua Pemuda Umno selalu melaungkan slogan yang mereka pilih, iaitu "Gempur". Nyata sekali secara tidak langsung mereka menggalakkan ahli-ahli mereka supaya menggempur parti-parti lawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nampaknya, tambah Syed Husin, mengoyakkan poster dan membuang bendera parti-parti lawan adalah satu cara gempur yang mereka galakkan.
"Adakah ini jenis pelajaran yang hendak diberikan oleh Datuk Hishamuddin Hussein dan Khairi Jamaluddin kepada anak-anak nakal dari golongan mat rempit itu?
"Apakah jenis generasi akan datang yang hendak mereka bentuk?" soalnya
Laporan polis
Dr Syed Husin berkata, pihaknya mendapat bahawa perbuatan mengoyak poster dan menurunkan bendera parti-parti lawan ini turut berlaku di kawasan lain di mana calon PKR.
"Bahkan ada anggota Keadilan yang dipukul dan dicederakan apabila cuba mempertahan poster dan bendera calon kami," katanya.
Menurut Dr Syed Husin lagi, dalam beberapa kes, mereka membuat laporan polis, tetapi beliau mendakwa kadang-kadang pihak polis tidak mengambil tindakan, bahkan adakalanya tidak mahu menerima laporan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan polis supaya menjalankan tugas mereka secara profesional, dengan tegas serta berkesan untuk memastikan bendera dan poster semua calon tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak.
"Oleh kerana perbuatan nakal ini berlaku dengan agak meluas di Permatang Pauh, kami menyeru supaya perhatian khusus hendaklah mereka tumpukan ke kawasan itu," tambahnya.

