Ceramah DAP untuk menyokong calonnya, Voon Lee Shan yang bertanding kerusi Parlimen Stampin terpaksa dibatalkan malam tadi apabila pengendali sistem pembesar suaranya menarik diri pada saat-saat selepas didakwa menerima ancaman.

chong chieng jen "Kira-kira dua jam sebelum ceramah itu dijadual bermula jam 7 malam (di Kota Padawan, kira-kira 16km dari Bandaraya Kuching) sekumpulan samseng telah mengancam pengendali sistem pembesar suara tersebut, untuk memecahkan peralatannya," kata Setiausaha DAP negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen kepada Malaysiakini .

Beliau berkata, pengendali sistem pembesar suara tersebut menjadi takut dan menarik diri.

"Bagaimanapun sudah terlalu lewat untuk menjadi pengganti pembesar suara, jadi ceramah tersebut dibatalkan," kata Chong, yang mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Kuching.

Katanya, Voon, 62, yang juga Adun Batu Lintang (salah sebuah kerusi negeri di bawah Stampin) telah membuat laporan kepada polis yang datang selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Voon juga merupakan seorang bekas pegawai kanan polis sebelum bersara untuk menceburi bidang guaman dan politik.

Calon BN dari SUPP, Yong Khoon Seng, mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal keempat. Beliau juga merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Kerjaraya dan naib presiden SUPP. Beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai insiden tersebut.

Rasa hangat

Sementara itu Chong mendakwa mereka adalah penyokong SUPP yang menurutnya sudah merasa bahang pilihanraya umum kali ini.

Beliau juga kecewa kerana unit penguatkuasa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang datang selepas dimaklum mengenai kejadian itu berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tugasnya hanya untuk memastikan permit polis diperolehi untuk mengadakan ceramah.

Stampin menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan juga calon PKR, See Chee How.

Dalam satu ceramah PKR malam tadi, Pengerusi PKR negeri, Dominique Ng mengecam Chong kerana enggan bekerjasama dengan PKR.

Para pemerhati berkata, perpecahan dalam undi pembangkang akan menguntungkan calon BN, Yong.

Bagaimanapun, mereka juga tidak menolak kemungkinan pembangkang boleh menang di kerusi tersebut jika diambil kira kecenderungan pengundi dalam pilihanraya negeri yang lalu.

Dalam pilihanraya negeri itu, pembangkang menang di empat daripada lima kerusi majoriti pengundi Cina di Kuching - tiga DAP three (Pending, Batu Lintang and Kota Sentosa) and satu PKR (Padungan).

BN berjaya mengekalkan kerusi Batu Kawah yang mempunyai ramai pengundi bukan Cina.