BERITA

K'jaan Kelantan muflis, dakwa Muhyiddin

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Mac 2008, 8:29 pagi

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata kerajaan negeri Kelantan kini berkeadaan muflis dan sudah pasti sukar untuk menyusun strategi pembangunan yang boleh menjamin masa depan rakyat dan generasi baru anak-anak Kelantan.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, kerajaan Kelantan sekarang tiada mampu mentadbir dengan berkesan pada masa depan ekoran bebanan hutang tertunggak yang serius sebanyak RM1 bilion.

"Dalam masa lima tahun akan datang, tidak akan ada sebarang pembangunan jika PAS terus mentadbir Kelantan.

"Kemampuan untuk mentadbir negeri boleh dikatakan dalam keadaan 'zero' dengan tiada sumber kewangan mencukupi bahkan tidak boleh membiayai hutang yang besar dan tidak akan ada pembangunan untuk negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama petani KADA di Kota Bharu, hari ini.

Sebaliknya, lapor Bernama, Muhyiddin berkata, BN mampu mengubah senario Kelantan dan menawarkan kerajaan lebih stabil yang mampu membawa agenda pembangunan yang menguntungkan negeri itu bagi jangka panjang.

Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau terkejut dengan bebanan hutang besar kerajaan Kelantan itu selepas dimaklumkan oleh Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Annuar Musa.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Kelantan harus menyokong BN dalam pilihanraya umum ini bagi membolehkan manifesto khas untuk Kelantan yang membabitkan projek pembangunan bernilai RM10 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Annuar dalam ucapannya berkata defisit terkumpul belanjawan negeri itu kini berjumlah RM400 juta setahun dan bukannya RM5 juta seperti yang didakwa kerajaan negeri.

"Ia tidak munasabah kerana, hutang pinjaman air (daripada kerajaan pusat sejak awal tahun 2000) sahaja pun RM600 juta," katanya.

Annuar berkata PAS cuba melindungi kelemahan kewangan kerajaan Kelantan kerana bimbang rakyat akan sedar berhubung kelemahan pentadbiran parti itu yang berkuasa sejak 1990 di negeri itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.