ATM pelawa parti politik, NGO saksi undi pos
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempelawa wakil parti politik yang bertanding, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media untuk melihat sendiri proses pengundian secara pos oleh ATM.
Proses pengundian secara pos itu akan dijalankan pada Rabu dan Khamis ini di padang kawad Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata ia bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundian secara polis oleh ATM diadakan secara telus.
"Wakil-wakil parti yang berminat perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Pemerintah Kem dengan menghubungi bilik gerakan pilihanraya pengundi tanpa hadir (PTH) di Kementerian Pertahanan di sini (Kuala Lumpur)," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Bernama memetik Abdul Aziz sebagai berkata anggota tentera tidak pernah dipaksa atau diarah untuk mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai menghormati prinsip amalan demokrasi di negara ini.
"Siapa yang mereka undi terpulang kepada mereka tanpa dipengaruhi mana-mana individu," katanya sebagai dakwaan mengatakan anggota tentera takut mengundi kepada pembangkang kerana bimbang undi mereka dipantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sambil menegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar, Abdul Aziz berkata mereka juga mempunyai hak sepertimana orang awam lain untuk mengundi parti mana yang difikirkan layak mentadbir negara.
"Anggota tentera sekarang sudah bijak, mereka boleh menilai apa yang telah disumbangkan oleh kerajaan dan mereka tahu mana yang perlu dipilih.
Abdul Aziz berkata sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, anggota tentera berdiri teguh di belakang mana-mana pemerintah yang
dipilih rakyat.
Bagaimanapun, katanya, semua anggota tentera daripada menghadiri mana-mana ceramah politik sama ada oleh parti pemerintah ataupun pembangkang.

