Isu Motorola: Tsu Koon pertahan tindakannya
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mempertahankan surat di mana beliau telah membuat satu persetujuan kontroversi supaya syarikat telekomunikasi raksasa Amerika, Motorola, kekal beroperasi di Pulau Pinang.
“Saya hairan bagaimana surat sulit kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) boleh bocor. Saya telah minta siasatan terperinci dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Gerakan di Pulau Pinang pagi tadi.
Dr Koh mengesahkan kandungan surat tersebut, yang disiarkan dalam laporan eksklusif Malaysiakini Ahad lalu.
“Saya percaya bahawa saya telah melakukan perkara yang betul untuk melindungi kepentingan penduduk Pulau Pinang," tegasnya.
Surat bertarikh 3 Disember tahun lalu dan ditandatangani oleh Koh, dialamatkan kepada Abdullah untuk meminta 'pertolongan' kerajaan pusat supaya mengekalkan operasi Motorola di Pulau Pinang, yang mempunyai kemudahan perkilangan di Zon Industri Bayan Lepas.
Beliau mengambil tindakan tersebut kerana Motorola merancang untuk memindahkan operasinya keluar dari Malaysia.
Menurut surat tersebut, kerajaan akan menawarkan projek bernilai RM1 bilion kepada Motorola, membabitkan penaiktarafan rangkaian radio polis, supaya syarikat tersebut kekal beroperasi di Pulau Pinang, selain membuat tambahan pelaburan RM350 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,
Motorola mengumumkan pelaburan RM350 juta di Pulau Pinang Selasa lalu.
Bukan nak 'jaga air muka'
Mengulas lanjut mengenai surat tersebut, Koh berkata, adalah penting Motorola mengekalkan operasinya di Pulau Pinang kerana ia menyediakan kira-kira 10,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Tambahan lagi, jika berpindah, ia akan turut menjejaskan syarikat-syarikat tempatan.
Beliau juga berkata, Motorola telah melaburkan RM5 bilion selama 40 tahun beroperasi di Malaysia.
“RM350 juta itu hanyalah salah satu pelaburannya, banyak lagi yang akan dilaburkan," kata Koh sambil menyangkal dakwaan bahawa campurtangannya menyebabkan perjanjian tersebut 'berat sebelah'.
Beliau juga menafikan bahawa ianya satu usaha untuk 'menjaga air muka' kerajaan negeri ekoran serangan pembangkang yang mendakwa kemerosotan dayasaing ekonomi negeri tersebut.
“Ianya bukan kerana kemerosotan dayasaing," kata Dr Koh sambil menegaskan bahawa negara-negara lain juga akan mengambil tindakan yang sama dalam menarik pelabur asing.
Dr Koh dengan tegas menolak sebarang dakwaan berlakunya 'rasuah' dalam urusan tersebut.
“Tidak ada rasuah. Rasuah bermakna wang masuk poket atau syarikat, bukan dalam bentuk pembayaran bagi apa-apa (bila membabitkan) peralatan sebenar, sistem, rangkaian serta keseluruhan infrastruktur yang akan dibina," hujahnya.
Dr Koh juga berkata, keputusan untuk mengekalkan operasi Motorola tiada bermotifkan politik, tetapi lebih berasaskan kepada strategi perniagaan, sambil menegaskan bahawa beliau hanya menyentuh faktor politik dalam satu ayat sahaja dalam surat setebal tiga halaman itu.
Beliau telah mengingatkan Abdullah mengenai 'akibat besar' yang bakal berlaku, dengan berkata ianya boleh memberi kesan buruk di segi politik, terutama menjelang pilihanraya umum.
'Kecewa dengan Malaysiakini'
Dr Koh kemudiannya mengecam Malaysiakini yang didakwanya membuat laporan secara negatif tentang isu tersebut.
“Saya sangat kecewa dengan laporan yang dibuat secara begitu negatif. Kalau anda telah membaca surat tersebut, maka anda akan memahami kontak keseluruhannya (tetapi anda memilih) untuk melapornya secara negatif dengan tajuk ‘Penang bribes Motorola’. Ia amat dikesali, amat dikesali," katanya.
Pendedahan mengenai perkara itu dibuat sewaktu pembangkang makin meningkatkan 'serangannya' terhadap kerajaan negeri Gerakan kerana kegagalannya untuk memulihkan ekonomi negeri tersebut.
Para pengkritik mendakwa negeri tersebut telah hilang kegemilangannya, dengan banyak syarikat-syarikat multinasional berpindah ke negara lain.
Bagaimanapun pengumuman Motorola itu telah menyelamatkan Dr Koh. Beliau memberitahu pemberita bahawa itu membuktikan bahawa Pulau Pinang masih berdayasaing dan pihak pembangkang cuba "menghancurkan' segala-galanya.
Kelembapan ekonomi Pulau Pinang mencetuskan kebimbangan pengundi dan keadaan itu dijangka akan mempengaruhi sentimen pengundian 8 Mac depan.

