Rakyat terima visi PKR, kata Syed Husin
Tindak balas media milik Barisan Nasional (BN) meningkatkan kritikan terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas menunjukkan bahawa mesejnya mengenai 'Harapan Baru Untuk Malaysia' telah mendapat tempat di hati rakyat, kata Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.
Beliau berkata, ia juga menunjukkan bahawa apa yang diperjuang dan dipertahankan oleh pihak pembangkang, telah diterima oleh ramai rakyat Malaysia sebagai visi yang terbaik untuk masa depan negara.
Malah, katanya, kritikan-kritikan tersebut telah menimbulkan persoalan yang serius mengenai motif dan integriti mereka yang berbuat demikian, yang pernah bersama PKR suatu masa dahulu.
"Tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar sebagai anti atau pro kumpulan etnik tertentu, juga menunjukkan bahawa BN tidak mempunyai pendirian yang tetap.
"Umno menuduh Datuk Seri menjadi pro kaum Cina atau pro kaum India dan anti orang Melayu.
"Manakala MCA, MIC dan Gerakan pula menuduh beliau pro orang Melayu anti kaum Cina dan India," kata Syed Husin.
Semua ini, tembah beliau, dengan jelas menunjukkan bahawa Keadilan berada di landasan yang betul.
"Jika lawan kita menuduh kita pada yang sama pro dan anti-Melayu, Cina atau India, ia membuktikan bahawa Keadilan adalah sebuah parti yang hakikatnya anti-perkauman dan pro-rakyat Malaysia," katanya.
Menurut Syed Husin, beliau telah mengenali Anwar sejak bekas timbalan perdana menteri mengajar di Universiti Malaysia (UM) dan beliau sendiri mengajar di sana.
Oleh itu, katanya, beliau boleh menjadi saksi bahawa apa juga pilihan yang dibuat sepanjang karier politiknya, Anwar secara konsisten memperjuangkan hak-hak golongan tertindas dan integriti dalam kerajaan.
"Kegagalan BN untuk menghasilkan kritikan yang lebih berkredibiliti, kecuali sungutan beberapa individu sehingga ini, menjadi petanda yang jelas bahawa Datuk Seri Anwar and Keadilan, mempunyai visi yang dinamik ke arah sebuah negara Malaysia yang selamat, lebih bersatu padu dan makmur," katanya.

