Batu Kawan: 'Pertembungan dua pemikir'
Dr P Ramasamy DAP bagi kerusi Parlimen Batu Kawan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai di Pulau Pinang berkata langkahnya menceburi bidang politik lebih berupa lanjutan kepada apa yang sudah dilakukannya selama ini.
Ramasamy, 58, yang dilahirkan di Sitiawan, berpengalaman selama 25 tahun menjadi pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau yang menyertai DAP empat tahun lalu, terbabit dalam banyak projek penyelidikan berhubung isu-isu sosial.
Bernama memetik Ramasamy sebagai berkata, yang dilakukannya sekarang adalah lanjutan kepada kerja-kerja sosial yang dilakukannya sejak di universiti, seperti meninjau masalah pekerja-pekerja ladang dan pekerja am.
Ditanya sekiranya pengalaman beliau sebagai pensyarah sains politik memberikan kelebihan kepadanya dalam arena politik, beliau berkata: "Ia hanya membimbing saya dalam isu-isu komuniti dan politik."
"Ia jauh berbeza, teori tidak boleh dipraktikkan. Pengalaman masih memainkan peranan yang penting," kata beliau yang jelas fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Global Labour University Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selama setahun pada 2004.
Setiausaha antarabangsa DAP itu berkata pengalamannya yang luas sebagai perunding keamanan di arena antarabangsa, terutama di Aceh, Filipina dan Sri Lanka, turut memberikan kelebihan kepadanya dalam memahami isu-isu kemanusiaan.
Pengalaman luas
Menurutnya pengalaman sebagai penasihat kepada Aceh dalam proses perdamaian negara itu pada tahun 2005, memberikan beliau kefahaman yang lebih baik dan mendalam terhadap dunia Muslim, memandangkan Aceh memang dikenali sebagai "serambi Mekah".
Menyentuh tentang penampilan beliau dalam pilihanraya ini di dua kawasan pada satu masa yang sama, Ramasamy berkata ia memerlukan sedikit orientasi.
Batu Kawan merangkumi kawasan pembangunan bercampur yang luas dengan para pengundinya terdiri dari kumpulan yang pelbagai - daripada nelayan, petani dan pekerja ladang, kepada kumpulan berpendapatan tinggi, manakala Perai lebih berupa kawasan bandar yang maju.
Ramasamy berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon di Batu Kawan, manakala di Perai beliau menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan L Krishnan dari BN dan calon bebas, R Ulaganathan, bekas ahli MIC.
Batu Kawan mempunyai 43,055 pengundi dengan 56.6 peratus pengundi Cina, 22.2 peratus India dan 21 peratus Melayu, manakala Perai mempunyai 13,813 pengundi dengan 51.6 peratus dari kaum Cina, 35.8 peratus India dan 11.6 peratus Melayu.
Ditanya mengenai jolokan 'pertembungan antara pemikir' dalam pertandingan di Batu Kawan, Ramasamy berkata walaupun beliau dan Koh adalah ahli akademik dan memiliki ijazah kedoktoran, mereka mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada pengalaman kerja masing-masing.
Koh memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang Ekonomi dan Sosiologi Pendidikan dari Universiri Chicago, Amerika, dan merupakan timbalan dekan Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Sains Malaysia, sebelum menceburi bidang politik.
Ditanya mengenai rancangannya untuk kawasan Batu Kawan atau Perai, Ramasamy berkata beliau mempunyai rancangan yang terperinci, tetapi akan mendedahkannya hanya sekiranya beliau menang dalam pilihanraya nanti.
Ketika ini, katanya, beliau mahu orang ramai tahu bahawa beliau sanggup menjadi 'suara' mereka di Parlimen dan di persidangan Dewan Undangan Negeri.

