Seorang pemimpin pemuda, 40, ditahan polis sejurus selepas seorang gadis mendakwa beliau dicabul sebanyak dua kali, termasuk sewaktu kempen pilihanraya.

Dalam laporan polisnya hari ini, gadis 16 tahun mendakwa dadanya diramas dan pipinya dicium oleh lelaki tersebut Isnin lalu.

Mangsa juga mendakwa lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat selepas kejadian itu dimaklumkan kepada seorang pemimpin parti tersebut.

Bulan lalu, gadis itu dicabuli sewaktu pemuda itu menumpangkannya dengan sebuah kereta, lapor laman web The Star hari ini.

Lelaki itu, yang dilaporkan dari sebuah parti pembangkang, sering mengajak pelajar sekolah menengah di Air Putih, Kemaman ke majlis-majlis ceramah.

Ketua polis Terengganu SAC (I) Datuk Ayub Yaacob mengesahkan polis menerima laporan itu dan lelaki tersebut ditangkap pukul 5 petang tadi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, enam penyokong pembangkang antara 27 dan 46 tahun ditahan bagi membantu kes pukul.

Mereka ditahan bagi siasatan kes seorang pemandu lori cedera akibat dipukul oleh seorang lelaki yang dipercayai penyokong PAS dalam satu kejadian di Jalan Kedai Buluh di Bukit Payong, Kuala Terengganu semalam, kata ketua polis itu.

Menurut agensi Bernama , kejadian jam 7.20 malam berlaku ketika pemandu itu, 34, dalam perjalanan ke rumahnya di Jalan Tekukur apabila kenderaannya tiba-tiba dihalang oleh sekumpulan lelaki.

Ayob berkata, pemandu lori itu sebelumnya terlanggar bendera BN dan PAS yang dipasang agak rendah di kawasan berkenaan.

"Semasa sampai di hadapan Pasar Kampung Kedai Buluh, mangsa mendengar teriakan memintanya berhenti dan setelah menghentikan lori itu, lebih kurang 10 lelaki menaiki lori itu.

"Seorang daripada mereka merampas telefon serta memukul mangsa di kepala, lengan dan badannya," beliau dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar hari ini.

Pemandu itu mendapatkan rawatan di hospital besar dan dibenarkan pulang 4 pagi ini, katanya.

Sekumpulan 10 orang penyokong pembangkang itu juga menuntut wang RM10,000 atas kerosakan tersebut sebelum membolehkan lori itu diambil oleh pemiliknya.

Menurut Ayob lagi, keenam-enam lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.