Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa pemimpin utama badan pemantau Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), termasuk pengerusinya Abd Malek Hussin, menarik diri sebagai pemerhati yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana membantah pembatalan penggunaan dakwat kekal pada 8 Mac ini.

Awal tahun ini, seramai kira-kira 333 sukarelawan Mafrel, telah mendapat akreditasi SPR bagi membolehkan mereka hadir dan memantau proses pengundian di pusat pengundian bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

mafrel pc 050308 full scene Abdul Malek berkata, keputusan untuk menarik diri itu bersifat peribadinya dan bukan Mafrel.

Oleh itu, katanya, sukarelawan Mafrel yang lain tidak terikat dengan keputusannya untuk menarik diri.

Selain Malek, timbalan pengerusi badan itu Syed Ibrahim Syed Noh dan empat lagi anggotanya turut menyerahkan tanda nama yang dikeluarkan oleh SPR kepada mereka.

Abdul Malek berkata, beliau mengambil keputusan tersebut kerana tidak mahu dianggap merestui tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat tersebut.

Katanya, ini kerana tindakan SPR itu bertentangan dengan syor Mafrel yang telah dikemukakan kepada suruhanjaya itu.

Integriti Mafrel

Beliau menyifatkan tindakan itu dibuat atas "prinsip mempertahankan (keperluan untuk) menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil dan demi untuk mempertahankan integriti Mafrel."

"Selagi keputusan pembatalan itu tidak dikaji semula, saya terlebih dahulu mengambil keputusan menarik diri sebagai pemerhati pilihanraya umum ke-12," katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

"Mafrel membantah keras keputusan (SPR) itu dan Mafrel tidak akan mengesahkan keputusan tersebut yang jelas bercanggah dengan perakuan (kami sendiri) ... berhubung penggunaan dakwat tersebut," tambahnya.

Menurut Malek lagi, Mafrel akan tetap menjalankan tugas mereka sebagai pemerhati kecuali di pusat-pusat mengundi.

Semalam pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan pembatalan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari pengundi pada pilihanraya umum ini berasaskan nasihat perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

Dalam nada sinis, Abdul Malek berkata, logik seumpama itu juga bermakna semua mata wang dalam negara ini terpaksa dikeluar, semata-mata kerana ada juga yang palsu.

Menurutnya, banyak negara seperti Afghanistan dan Filipina menggunakan dakwat tersebut tanpa sebarang masalah.

Malek juga menolak hujah SPR bahawa undang-undang sekarang tidak mempunyai peruntukan untuk penggunaan dakwat pada jari pengundi.

Sebaliknya, kata beliau, sebelum ini pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dilakukan dengan pantas untuk melanjutkan tempoh persaraan anggota SPR, termasuk Abdul Rashid sendiri.

Katanya, peruntukan untuk membolehkan penggunaan dakwat tersebut juga boleh dilakukan sekiranya SPR serius untuk berbuat demikian.

Kecewa dengan Rashid

Mengenai perjumpaan dengan Abdul Rashid hari ini, Abdul Malek juga menyuarakan kekecewaannya bahawa pengerusi SPR itu membangkitkan mengenai hak-hak perlembagaan rakyat untuk mengundi sebagai alasan penolakan penggunaan dakwat tersebut.

"Mengenai (pembatalan) penggunaan dakwat ini, mereka menggunakan hujah Perlembagaan Persekutuan, jaminan dan hak dalam perlembagaan.

"Bagaimana dengan hak-hak asasi di atas yang juga merupakan sebahagian daripada demokrasi," soal Malek.

Beliau juga menyifatkan representasi kepada SPR oleh Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk membatalkan penggunaan dakwat tersebut sebagai mencampuri perkara dalam bidang kuasa SPR untuk diputuskan. Berita asal

ADS