dr awang adek hussin kemaskini 11:35pm Tunggakan cukai RM76 juta akan dihapuskan serta-merta jika BN berjaya merampas Kelantan pada pilihanraya umum Sabtu ini.

Pengumuman besar-besaran ini, termasuk melalui siaran langsung malam ini, dianggap senjata terkuat BN untuk mengambil alih Kelantan.

Calon Menteri Besar itu Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata tunggakan itu melibatkan RM26 juta cukai tanah, RM34 juta cukai majlis daerah, dan RM16 juta tunggakan bil air yang belum dibayar kepada kerajaan negeri.

Pelupusan tunggakan itu sebagai lambang BN serius untuk membantu negeri ini, beliau berkata selepas melancarkan manifesto BN di DUN Kelaboran hari ini, lapor Bernama .

"Selain itu, kita juga berjanji akan mengekalkan penghulu-penghulu atau Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) yang berkhidmat sepanjang pemerintahan PAS," beliau dipetik sebagai berkata di Tumpat.

Malam ini, sewaktu diwawancara secara langsung melalui saluran RTM1, beliau berkata pelupusan cukai ini akan menjadi senjata BN untuk menawan Kelantan.

Beliau dilaporkan berkata rakyat Kelantan begitu sensitif dengan soal kewangan dan penghapusan cukai tertunggak sekali gus itu akan disambut baik kerana ia membebankan selama ini.

Sementara itu exco kewangan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa BN Kelantan hanya yakin memenangi di 19 kerusi DUN, setakat tinjauan parti itu hari ini.

Sambil mendakwa maklumat itu didapatkan dari bilik gerakan Umno sendiri, beliau berkata Umno menyifatkan tujuh kerusi negeri sebagai kawasan hitam, 13 lagi "kawasan kelabu" dan enam (kelabu hitam).

Kategori warna ini digunakan oleh kedua-dua parti untuk menandakan tahap-tahap sokongan pengundi kepada calon bertanding berdasarkan analisis cula yang diperolehi setiap hari di kawasan masing-masing.

Husam yang juga naib presiden PAS mendakwa lagi, BN menilai dua kerusi parlimen sebagai hitam, enam (kelabu) dan dua (kelabu hitam).

Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dan 14 parlimen. Sebanyak 20 kerusi, yang dipertahankan oleh PAS dan BN, mempunyai majoriti bawah 800 undi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pandangannya bahawa negeri itu masih kekal di tangan PAS seperti disebut dalam wawancaranya dengan Malaysiakini semalam.