Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mencipta slogan baru menjelang pilihanraya umum 8 Mac ini - "kalau saudara-saudari tolong saya satu minit, lima tahun saya akan tolong saudara saudari."

Berdepan dengan asakan pembangkang yang makin kuat, berbanding 2004, Dr Mohamad Khir menjadikan slogan itu terus bergema kepada semua sasaran pengundi di kawasan-kawasan yang dilawatinya, lapor Bernama hari ini.

Beliau berkata, para pengundi memikirkan masak-masak sebelum menolak BN kerana kesannya panjang selama lima tahun.

Persidangan DUN, tambahnya, hanya membincangkan dasar kerajaan dan tidak mendengar isu kemudahan awam.

"Kerana itu, janganlah ada pihak yang cuba untuk bermain api... takut nanti terbakar tangan sendiri," beliau disebut sebagai berkata.

Tambahnya, kerusi-kerusi negeri yang diwakili pembangkang sukar dibangunkan kerana wakil-wakil rakyat itu tidak menyertai mesyuarat Pra-Majlis Kerajaan Negeri.

Mesyuarat selama tiga hari tiga malam dalam setahun itu melibatkan pegawai kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, wakil rakyat dan pegawai pejabat tanah dan daerah bersama-sama Menteri Besar.