Dalam usahanya mempertahankan kerajaan Kelantan, PAS menganjurkan solat hajat di stadium utama di Kota Bharu pada jam tiga pagi ini.

Acara ini kali kedua diadakan selepas pembubaran parlimen tiga minggu lalu. Ia didahului dengan berpuasa di kalangan penyokong PAS hari ini.

Ia dijangka disertai kira-kira 20,000 orang.

Beberapa hari selepas parlimen dibubarkan pada 13 Februari, PAS menganjurkan majlis solat hajat - majlis pertama itu dihadiri ribuan penyokong parti.

Acara yang dinamakan "Munajat Rakyat Kelantan Pertahankan Kerajaan Islam" itu akan disertai oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ketua Dewan Ulama Datuk Mohamad Daud Iraqi.

Nik Aziz dijadual menyampaikan amanat khasnya selepas sembahyang subuh.

Beliau dijangka tiba di Stadium Sultan Muhammad IV seawal 3.45 pagi sebelum memulakan acara solat tahajjud, solat hajat, berzikir dan solat witir.

Beliau sejak awal minggu ini menyampaikan beberapa amanatnya, termasuk di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk anak-anak Kelantan dan juga melalui media.

Program selama lebih lima jam itu berakhir dengan kuliah pagi Jumaat pada 8.30 pagi.

Majlis seumpama itu pernah diadakan beberapa kali sebelum ini, terbaru pada Januari lalu dan ketika Ijtimak Ulama PAS tahun lepas.

Di beberapa kawasan DUN dan parlimen, majlis solat hajat untuk mempertahankan pentadbiran Kelantan di kalangan penyokong PAS bermula sejak tahun lepas.