Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis larang sekat bas, ambil IC
Diterbitkan:  Mar 7, 2008 7:41 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini memberi amaran bahawa penyokong parti politik dilarang menahan bas dan memeriksa kad pengenalan (IC) penumpang kerana mereka tiada hak berbuat demikian.

Tambahnya, polis tidak teragak-agak menangkap dan mendakwa mereka atas tuduhan merusuh, menimbulkan kekacauan, menahan secara haram atau menggugut jika masih berdegil.

"Jangan ambil tindakan sendiri. Lapor kepada polis jika anda tidak berpuas hati dan kita akan siasat," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut laporan laman web The Star hari ini, polis menjamin dapat mengawal keadaan dan menggesa orang awam keluar mengundi tanpa rasa takut.

Polis akan ditempatkan di semua pusat mengundi dan mereka tahu tanggungjawab mereka, tambahnya.

Sementara itu polis Kelantan hari ini mengeluarkan arahan melarang penyokong parti politik berarak berkenderaan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam pada hari pengundian esok.

"Kita tidak mahu penyokong parti-parti ini menganggu keselamatan pengguna jalan raya dengan berarak di sepanjang jalan sambil melaung-melaungkan slogan parti mereka sama ada menaiki motosikal secara berkumpulan atau kereta," kata ketua polis Kelantan Datuk Ab Rahim Hanafi seperti dilapor Bernama .

Setakat ini, katanya, polis belum menerima laporan tentang insiden penahanan bas oleh penyokong parti politik.

"Kita turut memantau di pintu masuk ke negeri ini dengan menempatkan anggota kita untuk mengelakkan mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri," Ab Rahim dipetik sebagai berkata.

Di Terengganu, sembilan buah bas diiring oleh polis bagi mengawal keselamatan penumpang selepas lima daripadanya dikepung penyokong sebuah parti politik awal pagi tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS