nik aziz 01 tinjauan Pembangunan mungkin kurang dan peluang pekerjaan juga tidak banyak tetapi imej bersih, warak dan sederhana menjadi faktor utama rakyat memilih semula kerajaan negeri PAS dalam setiap pilihanraya umum sejak 1990.

Namun, Barisan Nasional (BN) nampaknya tidak memahami keadaan tersebut.

“Banyak sekali wang politik ditaburkan di sini," kata seorang pensyarah ketika ditemui.

“Perjumpaan kecil diadakan di kawasan-kawasan kecil di luar bandar dan orang ramai mendapat habuan. Mereka menghadirinya, ambil (wang) dan bila balik mereka tetap undi PAS," katanya.

Pengalaman yang sama juga turut diceritakan oleh seorang profesional Cina Kelantan yang pulang ke Kota Bharu untuk membuang undi.

Teng, seorang eksekutif berusia 30 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur berkata beliau pulang untuk mengundi pembangkang sejak dua pilihanraya umum yang lalu.

“Kita boleh tuntut balik belanja perjalanan dari BN jika kami mahu," tambahnya.

Pensyarah berkenaan berkata, walaupun diberi habuan, ia tidak menjamin akan mendapat undi mereka.

Manakala Sudhir, seorang wartawan dari Singapura berkata, beliau menyaksikan ketegangan yang berlaku antara penyokong PAS dan BN berhubung dakwaan rasuah sewaktu pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada Disember 2005.

“Penyokong PAS menyindir penyokong BN dengan membuat isyarat tangan seperti menghulurkan habuan. Ada yang bergaduh," katanya.

Beliau yang datang semula ke Kota Bharu untuk membuat liputan pilihanraya umum kali ini berkata, jelas kelihatan perbezaan antara dua pihak yang bersaing.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah penyokong PAS menaiki motosikal kecil manakala penyokong BN memandu kereta besar keliling bandar. Mungkin dengan berbuat demikian, (BN) ingat orang di sini mahukan pembangunan supaya mereka juga dapat memiliki kereta seperti itu," tambahnya.

Bukan Islam puas hati

Di pusat bandar Kota Bharu, tanda-tandanya tidak begitu menggalakkan bagi BN jika ia mengharapkan undi bukan Islam untuk menawan Kelantan.

Liew, seorang peniaga di kawasan majoriti Cina mengeluarkan satu lencana hijau dari poketnya dan melaungkan "undi PAS!" apabila ditanya mengenai parti pilihannya.

Selama tinggal di Kelantan - sebuah negara Islam - Liew menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam mendapat layanan "yang cukup baik".

“Fikirlah mengenainya. Di belakang jalan ini terdapat pusat Islam tetapi kerajaan negeri membenarkan kami mengekalkan pasar babi di situ. Malah, mereka menjadikannya lebih baik lagi. Kami tidak menghadapi sebarang masalah pun," tegasnya.

Malah, Liew menjadi berang dengan penyebaran khabar angin tentang wujudnya pengundi hantu.

“Ambil dua nombor ini dan semak bila anda balik nanti. Ia adalah orang yang sama," katanya merujuk kepada dua nombor kad pengenalan yang diterimanya melalui rangkaian penyebaran SMS pembangkang.

Jika sentimen di Kota Bharu ini dijadikan petanda kecenderungan pengundi di Kelantan, maka tidak banyak yang perlu dibimbangkan oleh PAS.

Malah, aktiviti kempen BN, terutama sikap agresif kempen "Pak Doh" Pemuda BN mungkin mendorong pengundi menyokong PAS.

Dengan mengurangkan retoriknya mengenai negara Islam dalam pilihanraya umum kali ini, PAS mungkin dapat menarik sokongan dari kalangan penyokong parti rakannya dalam Barisan Alternatif.

Itupun jika dakwaan mengenai aktiviti membeli undi dan pengundi hantu hanyalah satu tuduhan semata-mata dan tidak benar-benar berlaku dalam proses pengundian esok. Berita asal