Berita-berita ringkas dan menarik yang dilaporkan berlaku sepanjang perjalanan pilihanraya umum di seluruh negara hari ini:

bullet button Sekurang-kurangnya 200 pengundi di Long Lama, Baram di Miri, Sarawak tidak dapat mengundi kerana jalan menuju ke Long Lama Bazaar dari bandar tersebut dinaiki air sedalam lebih satu meter.

Long Lama dan SJK(C) Kee Tee merupakan pusat mengundi di Long Lama Bazaar.

bullet button Penyandang kerusi parlimen Sungai Siput, Datuk Seri S Samy Vellu yakin calon-calon MIC akan mengekalkan sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi negeri yang mereka tandingi hari ini. "Seminggu lalu, kami ada masalah di Prai dan Lunas tetapi semuanya telah diselesaikan dan pengundi menyokong kami sekarang," tegasnya.

bullet button Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau tidak akan mengumumkan nama penggantikanya malam ini. Pengumuman mengenainya akan hanya dibuat sehari dua lagi. Tiga nama disebut-sebut dilantik memegang jawatan tersebut - naib presiden Gerakan Dr Teng Hock Nan, Ketua bahagian Tanjung yang dikatakan calon pilihan, Teng Chang Yeow dan timbalan setiausaha agung Gerakan, Lee Kah Choon.

bullet button Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira kerana dapat mengundi semula. Beliau dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah mengundi di SM Penanti pada kira-kira jam 10.45 pagi. Wan Azizah bertanding mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang. Katanya, sokongan kepada pembangkang 'amat baik'.

bullet button Lee Chong Meng, calon MCA bagi parlimen Bukit Bintang memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), mendakwa lawannya dari DAP, Fong Kui Lun telah melanggar undang-undang pilihanraya dengan mengedar bunga sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

bullet button Seorang anggota parti pembangkang memukul seorang pemandu bas di Besut, Terengganu, yang didakwa membawa pengundi hantu. Pemandu tersebut dirawat di hospital.

bullet button Kira-kira 20 pekerja BN di bilik operasi Pantai Merdeka keracunan makanan, dipercayai selepas mengambil minuman kotak yang dihantar kepada mereka oleh orang yang tidak dikenali malam tadi. Mereka pening, muntah serta sakit tekak dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan pesakit luar.

bullet button Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan isterinya, Datin Sri Zahrah Kechik menunggang skuter baru untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Simpang Lima, Sungai Besar, Sabak Bernam pagi tadi. Skuter berwarna hitam itu dibelinya semalam dengan nombor pendaftaran BJV 8888, yang dipercayai oleh orang Cina sebagai 'bertuah'.

bullet button Pengundi berusia di Kuala Lumpur mengadu kepada SPR kerana tempat mengundi diletakkan di tingkat satu dan dua. Ini menyukarkan mereka naik membuang undi.

bullet button Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau yakin BN akan mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi parlimen. Beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam di Kepala Batas pada jam 9.25 pagi.

bullet button PAS Kelantan mendakwa seorang lelaki menemui pihaknya pada jam 3 pagi tadi, dengan menyatakan beliau menyimpan 28 kad pengenalan yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk mengundi. Parti itu belum lagi membuat laporan polis atau mendedahkan nama lelaki tersebut.

bullet button SMS yang tidak dapat disahkan disebar secara luas mendakwa 5,000 undi pos anggota tentera dipindahkan ke Bukit Bintang, 15,000 ke Sungai Siput, 7,000 ke Pekan dan 3,000 ke Kulai.

bullet button Gangguan bekalan elektrik selama kira-kira 35 minit berlaku di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang. Gangguan yang bermula 9.10 pagi itu bagaimanapun tidak mengganggu proses

pengundian.

bullet button Penulis blog Raja Petra Kamaruddin meramalkan (menurut sumber risikannya): Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan jatuh ke tangan pembangkang. Terbaru katanya, pembangkang mungkin menang sehingga 90 kerusi parlimen. Pada 2004, pembangkang menang 21 kerusi parlimen.