Dua orang meninggal dunia selepas rebah di pusat pengundian dalam dua kejadian berasingan di Alor Star dan Kepala Batas hari ini.

Dalam kejadian pertama, seorang petani rebah dan meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung sebaik selesai memasukkan kertas undinya ke dalam kotak di Sekolah Maktab Mahmud di Jalan Langgar.

Di Kepala Batas pula seorang lelaki tidak sempat mengundi apabila beliau meninggal dunia setelah rebah ketika berbaris menunggu giliran untuk mengundi.

Kejadian di Alor Star itu berlaku jam 8.20 pagi dan menggemparkan orang ramai yang sedang beratur menunggu giliran untuk mengundi.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Adzemi Ismail, 48, mati di dalam ruang tempat menanda undi dan polis menyifatkan kes itu sebagai kematian mengejut.

Seorang petugas Suruhanjaya Pilihanraya berkata beliau bergegas keluar sebaik mendengar bunyi bising di belakang dinding pembahagi kelas sekolah itu.

"Saya dapati seorang lelaki rebah dan mendapati tidak ada denyutan nadi. Saya terus menghubungi doktor di klinik yang berhampiran," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurut Bernama , sekolah itu merupakan pusat pembuangan undi untuk kerusi parlimen Pokok Sena yang menyaksikan pertembungan calon BN Datuk Abdul Rahman Ibrahim dan calon PAS Mahfuz Omar, manakala bagi kerusi DUN Bukit Pinang melibatkan calon BN Che Omar Saad dan calon PAS Mohd Rohsidi Osman.

Dalam kejadian di Kepala Batas, Saidon Md Isa, 48, dari Permatang Rambai dilaporkan sedang beratur untuk menunggu giliran di saluran dua, di Sekolah Agama Rakyat Permatang Rambai apabila beliau tiba-tiba rebah kira-kira jam 10.40 pagi.

Menurut rakannya Shukri Ramli, yang juga ketua Umno cawangan Permatang Kuang, allahyarham, yang merupakan kakitangan Telekom Malaysia di Kepala Batas, datang ke pusat itu bersama beberapa orang rakan sekampungnya dan menyertai deretan orang ramai di pusat pengundian itu untuk mengundi.

Sementara itu, jurucakap hospital Kepala Batas ketika dihubungi berkata, sebuah ambulans dihantar ke pusat pengundian itu kira-kira jam 11 pagi ini dan Saidon disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.