Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM jelas kedudukan Dr Nasir dan Dr Jeya
Diterbitkan:  Mar 12, 2008 3:59 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menjelaskan bahawa pengerusinya, Dr Nasir Hashim dan ahli jawatankuasa pusatnya, Dr Jeyakumar hanya menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Oleh itu, dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung PSM S Arutchelvan meminta pihak media merujuk kedua-duanya, yang menang dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, sebagai ahli PSM pada masa depan.

Menurutnya, dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, PSM menggunakan manifestonya sendiri dan telah mengesahkan manifesto BA.

mohamad nasir hashim 250305 Dr Nasir menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara di Selangor.

Beliau memperolehi 11,846 undi dengan menewaskan calon BN dari Umno, Datuk Zein Isma Ismail dengan majoriti 1,075 undi.

d jeyakumar Manakala Jeyakumar pula berjaya menumpaskan presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dengan majoriti 1,821 undi.

Jeyakumar memperolehi 16,458 undi manakala Samy Vellu pula mendapat 14,637 undi. Calon bebas, Nor Rizan Oon mendapat 864 undi.

Arutchelvan menjelaskan, calon-calon dari PSM termasuk dirinya yang bertanding di DUN Semenyih terpaksa menggunakan logo PKR untuk bertanding dalam pilihanraya umum lalu kerana pendaftaran parti itu sehingga ini belum diluluskan.

Arutchelvan kalah kepada calon BN dari Umno dengan majoriti 1,140 undi. Beliau mendapat 10,448 undi manakala calon BN, Johan Aziz mendapat 11,588 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS