Krisis berhubung pelantikan wakil rakyat PAS sebagai menteri besar kerajaan campuran yang diketuai oleh PKR nampaknya telah selesai hari ini.

lim kit siang 01 Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengeluar kenyataan menolak pelantikan calon PAS, hari ini memohon maaf kepada Sultan dan Pemangku Raja Perak.

Semalam, dalam kenyataannya itu, Lim berkata mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada 9 Mac lalu tidak merestui wakil rakyat PAS menjadi menteri besar kerajaan campuran di Perak.

Bagaimanapun, hari ini beliau menjelaskan bahawa kenyataan itu merupakan pendirian parti berkenaan pada masa itu.

"Kenyataan tiga perenggan saya pada jam 7 malam tadi bahawa mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat DAP pada 9 Mac tidak memberi kelulusan bagi seorang Menteri Besar PAS mengetuai kerajaan campuran negeri Perak bukan dibuat kerana tidak menghormati Pemangku Raja Perak yang saya sentiasa beri sanjungan tertinggi, dan saya memohon maaf jika menyebabkan tersinggung perasaan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

"Terdapat rundingan dan perkembangan selanjutnya mengenai perkara itu beberapa jam selepas kenyataan tersebut.

"Kenyataan mengenai kedudukan terbaru akan dibuat," katnya.

Pagi tadi, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Setiawan, memberitahu Malaysiakini bahawa salahfaham mengenai perkara itu telah diperjelaskan.

Katanya, semua Adun DAP akan menghadiri majlis mengangkat sumpah Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS di Kuala Kangsar jam 4 petang ini.