Kerajaan negeri Pahang telah mengurangkan bilangan ahli exconya daripada 10 kepada lapan orang sahaja.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini.

Mengulas mengenai pengurangan jumlah anggota exco, Bernama memetik Menteri Besar, Datuk Adnan Yaakob sebagai berkata, dua lagi exco boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Bila-bila masa boleh lantik dua orang lagi... buat masa ini Sultan (Ahmad Shah) tangguh dulu, tinggalkan kosong untuk dua tempat," katanya dalam sidang akhbar petang tadi.

Ditanya sama ada kekosongan tersebut akan diisi oleh wakil MCA berikutan pengguguran Fong, Adnan berkata "tidak semestinya dari MCA, mungkin dari Umno atau parti komponen".

Lapan ahli exco tersebut termasuk dua muka baru, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan

Mamat dan Datuk Wan Rosdi Wan Ismail (Jelai).

Enam exco lama yang dikekalkan termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak.

Turut dikekalkan ialah Datuk Maznah Mazlan, Datuk Ishak Muhamad, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Mohd Soffi Abdul Razak dan Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.

Empat ahli exco lama yang digugurkan ialah Datuk Shahiruddin Ab Moin, Datuk Ahmad Shukri Ismail, Datuk Fong Koong Fuee dan Datuk Munawar Abdul Jalil.

Adnan berkata, kedudukan dan portfolio kesemua anggota exco berkenaan hanya akan ditentukan selepas pembentukan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka pada minggu depan.