Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat keliru: Shahidan atau Isa?
Diterbitkan:  Mar 14, 2008 10:25 PM
Dikemaskini: 4:24 PM

Ketika pergelutan kuasa masih berlangsung tentang wakil rakyat BN yang layak menjadi menteri besar Perlis, rakyat di negeri itu dilaporkan sedang bingung siapakah pemimpin mereka sebenarnya: Datuk Mat Isa Sabu atau Datuk Seri Shahidan Kassim?

Pada sebelah pagi media melaporkan Shahidan bakal bertemu Raja Perlis tetapi selepas solat Jumaat, Mat Isa diumumkan sebagai menteri besar baru.

Nama Mat Isa tiba-tiba muncul di media walaupun, di kalangan elit politik negeri itu, ura-ura menamakan beliau sudah kedengaran beberapa hari sebelumnya.

shahidan kassim Shahidan yang menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di sebelah pagi selama kira-kira satu jam tidak dilantik semula untuk penggal keempat.

Menurut Bernama , ramai kalangan rakyat Perlis khususnya di kawasan Tambun Tulang yang diwakilinya bertukar bingung selepas pada mulanya bergembira dengan berita awal pagi tadi.

Petang ini, laporan itu dipetik, orang ramai mula hadir di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perlis di Jalan Kolam di sini namun Shahidan tiada di kediaman itu.

Kediaman Mat Isa di Taman Guru Jaya juga dilaporkan lengang dan pintu pagarnya berkunci.

Shahidan mendakwa beliau menerima surat sokongan daripada Perdana Menteri, dan juga pengerusi BN, untuk dilantik semula.

Petang ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkannya.

"Saya serahkan surat pelantikan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga pengerusi badan perhubungan BN Perlis, yang telah memenangi (pilihanraya umum baru-baru ini).

"Surat pelantikan itu untuk diserahkan kepada DYMM Raja Perlis supaya beliau (Shahidan) boleh dilantik sebagai menteri besar dan kemudian membentuk kerajaan Perlis," katanya kepada agensi berita Bernama dalam wawancara di Seri Perdana.

Bagaimanapun pihak istana pula, dalam satu kenyataan awal petang tadi, berkata keputusan melantik menteri besar tergantung pada pihak Raja Perlis seperti termaktub dalam Perkara 39 (2) undang-undang tubuh negeri itu.

Ia menyatakan hak Raja untuk melantik mana-mana wakil rakyat yang mendapat dukungan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Keputusan istana itu memilih Mat Isa berkuatkuasa serta-merta.

ADS