PKR cari setiausaha agung baru
kemaskini 6pm Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melantik setiausaha agungnya yang baru bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini menjadi menteri besar Selangor.
Pengumuman tersebut dibuat oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan semua wakil rakyat PKR malam tadi.
Pertemuan tersebut diadakan di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam.
Beberapa nama disebut-sebut akan ditimbang untuk dilantik sebagai setiausaha agung PKR yang baru, termasuk Ibrahim Yaakob.
Beliau merupakan seorang pegawai kanan di pejabat ketua umum PKR di Petaling Jaya.
Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Ibrahim bertanding di kerusi parlimen Setiawangsa menentang Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.
Ibrahim tewas dengan majoriti 8,134 undi.
Sementara itu, Anwar, ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Cina di Malaysia (Huazong), mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, Khalid ingin menumpukan perhatiannya kepada pentadbiran negeri dan parti itu di Selangor dan berhasrat untuk melepaskan jawatan setiausaha agung PKR.
"Khalid meminta untuk menumpukan perhatian (kepada pentadbiran) negeri Selangor.
"Saya telah membincangkan perkara itu dengan presiden parti (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan (timbalan presiden) Dr Syed Husin Ali dan kami perlu menimbang pilihan beliau, jadi kami akan membuat keputusan mengenainya secepat mungkin," katanya.

