BERITA

Rafidah, Radzi gugur, Khairy tiada

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mac 2008, 10:45 pagi

kemaskini 3:45pm Dalam barisan kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri tadi, enam menteri digugurkan termasuk Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Rafidah dan Tengku Adnan, yang dilanda kontroversi, masing-masing memegang portfolio Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Pelancongan.

radzi sheikh ahmad Dua tokoh dari Perlis, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Hal Ehwal Dalam Negeri) dan Datuk Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar) turut digugurkan. Datuk Jamaluddin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi) tidak dilantik semula.

Datuk Fong Chan Onn (Sumber Manusia) digugurkan.

khairy jamaluddin Satu nama yang ditunggu-tunggu ramai orang - naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - tidak dilantik menganggotai barisan kabinet.

Menantu perdana menteri ini menang di Rembau dalam pilihanraya umum lalu.

Sementara muka-muka baru pula, termasuklah Datuk Mohd Zaid Ibrahim sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahrir Samad (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Shabery Chik (Penerangan), senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah).

Seorang lagi muka baru ialah setiausaha agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan yang dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan Datuk Ismail Sabri Yaakob (Belia dan Sukan),

noraini ahmad 02 Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad pula dilantik sebagai timbalan menteri sumber manusia.

Anak ketua menteri Sarawak - Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan.

Lebih separuh muka baru

Barisan kabinet yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini juga lebih kecil - dikurangkan daripada 90 kepada 68 orang.

Lebih separuh daripadanya muka-muka baru untuk mengisi 27 kementerian - lebih kecil sedikit daripada 32 kementerian penggal lepas.

Dua kementerian berhubung keselamatan dan hal-ehwal dalam negeri digabungkan menjadi satu Kementerian Dalam Negeri dan jabatan perpaduan bawah JPM dimasukkan bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Jawatan setiausaha parlimen pula dimansuhkan.

"Ini bermakna menteri dan timbalan menteri perlu lebih aktif di parlimen," kata Abdullah dalam satu sidang akhbar khas di pejabatnya di Putrajaya.

Seorang lagi muka baru, bekas ketua pegawai eksekutif Maybank, Datuk Amirsham Abdul Aziz dilantik sebagai menteri di JPM.

zaid ibrahim Menurut perdana menteri, Zaid yang akan mengangkat sumpah sebagai senator petang ini ditugaskan untuk membantu membuat cadangan bagi perubahan dan reformasi dalam sistem kehakiman negara.

Manakala Amirsham pula, katanya, akan dilantik mengetui Unit Perancangan Ekonomi (EPU), menggantikan Effendi yang tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.

Mereka yang dinaikkan pangkat menjadi menteri ialah Datuk Ong Tee Kiat (Pengangkutan), Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Zin Mohamad (Kerja Raya), Datuk Shaziman Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi).

Najib, Hishammuddin kekal

Turut dilantik sebagai menteri ialah Datuk Liow Ting Lai (Kesihatan), Shabery Chik (Penerangan), Datuk Dr S Subramaniam (Sumber Manusia) dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Perdana Menteri mengekalkan jawatannya di Kementerian Kewangan, sementara jawatannya di Kementerian Dalam Negeri diserahkan kepada Datuk Seri Syed Hamid Albar.

wan farid wan salleh Manakala setiausaha politik Abdullah, senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dilantik timbalan Syed Hamid.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak masih lagi di Kementerian Pertahanan.

Menteri Kewangan II dikekalkan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, begitu juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Pelajaran) dan Datuk Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan).

Menteri yang bertukar kementerian pula: Datuk Azalina Othman (Pelancongan), Datuk Dr Rais Yatim (Luar Negeri), Datuk Khalid Nordin (Pengajian Tinggi), Mustapa Mohamed (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Shafie Afdal (Perpaduan, Kebudayan dan Kesenian dan Warisan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Carta anggota kabinet 2008:

bm version 2008 ministers line up 180308

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.