Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno akan sekali lagi dilanda 'tsunami politik' seperti yang berlaku pada 1987 jika jawatan presiden dipertandingkan dalam pemilihan Umno kali ini, kata seorang pemimpin kanan Umno Perlis.

umno perlis pc 120308 hashim suboh Ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh menegaskan demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pemilihan Umno yang dijangka diadakan Ogos ini.

Pada 1987, Tengku Razaleigh yang popular dengan panggilan Ku Li, mencabar presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kalah dengan majoriti kecil.

Akibatnya berlaku perpecahan dalam Umno sehingga parti diheret ke mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan parti orang Melayu itu sebagai haram.

Berikutan itu, Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) manakala Ku Li menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Bagaimanapun, S46 dibubarkan dan Ku Li serta pengikutnya kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995.

Hashim bimbang jika Ku Li sekali lagi mencabar jawatan presiden dalam perhimpunan akan datang, Umno akan menjadi punah-ranah, malah lebih teruk dari tragedi 1987.

"Kita kena ingat setiap pemimpin ada penyokongnya. Apa akan berlaku jika penyokong Abdullah dan Ku Li bertembung dalam pemilihan kali ini?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sedia dicalonkan

tengku razaleigh 02 Semalam, Ku Li menyuarakan secara terbuka hasratnya untuk menentang Abdullah untuk jawatan presiden jika pencalonannya cukup untuk melayakkannya bersaing merebut jawatan tertinggi Umno itu.

"Terpulang kepada bahagian-bahagian Umno, kalau mereka mencalonkan saya dan cukup 30 peratus maka saya sedia untuk bertanding jawatan presiden," katanya dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu.

Menurut Ku Li, beliau bersedia memikul tanggungjawab untuk memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu di mana Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan empat lagi negeri - Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor - kepada barisan pembangkang.

Manakala PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lagi pula, tegas Hashim lagi, parti pembangkang yang pernah kalah teruk dalam pilihanraya umum tidak pernah menukar presiden parti.

"Kita (Umno) kena buat secara berhemah dan dalam keadaan sekarang tidak boleh bertindak untuk melemahkan lagi parti," katanya lagi.

Manakala timbalan menteri jabatan perdana menteri, Datuk Hassan Malek juga sependapat dengan Hashim bahawa Umno akan berpecah jika Ku Li mencabar Abdullah untuk jawatan presiden parti seperti yang berlaku pada 1987.

Bagaimanapun, katanya, adalah hak Ku Li untuk bertanding jawatan presiden Umno dan pihak-pihak lain tidak boleh menghalangnya.

"Tetapi bagi saya, dalam keadaan Umno sekarang, sangat wajar jawatan presiden parti tidak dipertandingkan," kata Hassan yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kuala Pilah.

ADS