Datuk Shahrir Abdul Samad adalah seorang yang sentiasa bersikap terbuka dan menjadi pengkritik utama terhadap cara pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terutama mengenai isu-isu yang berkaitan dengan soal kecekapan dan integriti.

shahrir samad interview 180405 at work Antaranya, Shahrir mengkritik cara kerajaan mengendalikan kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang bernilai RM4.6 bilion, pembelian kapal peronda luar pantai bernilai RM6.75 bilion dan kontroversi penggabungan ECM Libra Avenue.

Sebagai tanda kecewanya, beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) pada 2006 apabila ahli-ahli parlimen BN tidak menyertainya menyokong usul pembangkang untuk "memelihara autonomi parlimen dan maruah ahli-ahli parlimen".

Selasa lalu, Shahrir yang juga pernah mempengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), dilantik menganggotai kabinet baru yang diumumkan oleh Abdullah.

Shahrir dilantik menerajaui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna dan ini telah mengejutkan banyak pihak.

"...saya tidak rasa apa-apa," kata ahli parlimen Johor Bahru, yang kini berusia 58 tahun, dalam temubual melalui telefon dengan Malaysiakini pada malam pelantikannya itu.

Shahrir kembali menganggotai kabinet selepas dua dekad. Jawatan terakhirnya dalam kabinet ialah menteri Wilayah Persekutuan pada 1987.

Turut dilantik menganggotai kabinet kali ini ialah seorang lagi tokoh kontroversi, bekas ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim, yang kini dilantik sebagai senator.

Shahrir dan Zaid dianggap 'reformis' dalam Umno.

Menurut Shahrir, beliau dimaklumkan oleh perdana menteri mengenai pelantikannya itu pada kira-kira jam 11 pagi Selasa - sejam sebelum barisan kabinet baru diumumkan.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini Abdullah tidak memberitahu jawatan menteri yang bakal disandangnya.

Dengan pelantikan dalam kabinet itu, Shahrir terpaksa melepaskan pemilikan syarikat golf yang dikendalikannya di Kuala Lumpur.

Dalam temubual dengan Malaysiakini itu, Shahrir - yang mempunyai blog dan lamanweb sendiri - berkata beliau sedang sibuk menjawab kira-kira 400 SMS mengucap tahniah kepadanya.

Petikan temubual dengan Shahrir:

Malaysiakini: Apakah tugas segera Datuk ekoran tindakan pengundi menyokong pembangkang kerana kenaikan kos hidup?

Datuk Shahrir: Pertamanya saya akan mengumpulkan pandangan NGO mengenai kepenggunaan dan saya akan minta maklumbalas mereka.

Datuk sebelum ini mahu subsidi bahan bakar dikurangkan dan harga petrol dinaikkan. Dengan jawatan baru sekarang, bagaimana Datuk hendak menangani kebimbangan tentang kenaikan harga minyak?

Memang benar tetapi dengan syarat-syarat tertentu. lsu sebenarnya adalah subsidi hendaklah diberi kepada mereka yang layak menerimanya.

Ramai yang terperanjat Datuk dilantik dalam kabinet sedangkan Datuk kritikal terhadap kerajaan?

Apa yang saya kata (kritik) adalah apa yang sebenarnya kerajaan mahu lakukan, semuanya terkandung dalam manifesto (pilihanraya) seperti isu-isu mengenai kecekapan dan integriti.

Apakah mesej daripada pelantikan seperti Datuk, Datuk Zaid lbrahim atau Datuk Amirsham A Azlz menganggotai kabinet?

Sesetengah penganalisa melihatnya sebagai usaha perdana menteri untuk nembawa reformasi. Tentulah mesejnya jelas dan tidak terlintas di fikiran anda bahawa pengkritik atau ahli parlimen yang berfikiran bebas, akan dilantik dalam kerajaan tetapi kita akan membawa nilai-nilai kita.

Di peringkat umur kami, jika (kami) mempunyai idealisme dan prinsip (sebelum pelantikan), pendirian itu tidak akan berubah.

Adakah ia ada kaitan dengan prestasi buruk BN dalam pilihanraya umum?

Jika keputusannya baik sekalipun, saya rasa perubahan (dalam barisan kabinet) akan berlaku juga.

Datuk tolak tawaran jawatan menteri sewaktu rombakan kabinet pada 2006. Mengapa Datuk menerimanya kali ini?

Memandangkan saya telah menolaknya sebelum ini, maka saya tidak menolaknya kali ini. Saya perlu menjalankan khidmat negara, terutama pada masa ini, di mana kita memerlukan (menteri) yang lebih responsif dan agresif.

Ada yang berpendapat Datuk sepatutnya ditawarkan jawatan lebih tinggi dalam kabinet memandangkan pengalaman Datuk yang lalu sebagai seorang menteri.

Adakah yang ini tidak glamour (ketawa)?

Datuk kata Datuk merancang untuk bersara dan kalau boleh tidak mahu bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu?

Pada ketika itu, saya fikir saya boleh menyumbang sebagai penyokong kerajaan (backbencher). Saya mahu menunjukkan teladan kepada ahli-ahli politik yang lain, yang beranggapan (menjadi) penyokong kerajaan bukan satu pilihan, bahawa mereka juga boleh menyumbang tanpa perlu memegang jawatan dalam kerajaan, perkara yang sama saya beritahu kepada Khairy (Jamaluddin). Beliau nampaknya gembira untuk memainkan peranan sebagai penyokong kerajaan.