BERITA

Krisis MB: Polis T'ganu beri amaran

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Mac 2008, 12:09 tengahari

Polis Terengganu memberi amaran kepada rakyat di negeri ini supaya tidak melakukan apa jua bentuk hasutan, termasuk menyebarkan SMS yang mengaitkan pihak istana dalam isu pelantikan menteri besar yang sehingga kini masih belum selesai.

ayub yaakob terengganu police chief Ketua polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata sejak dua tiga hari lepas, polis mengesan tindakan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dengan menyebarkan SMS mengaitkan isu itu dengan pihak istana sehingga menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, selain mencemarkan insitusi diraja itu sendiri.

"Kita minta rakyat di negeri supaya bersabar dengan keadaan sekarang dan jangan cuba menimbulkan sesuatu yang boleh membangkitkan keresahan masyarakat berhubung isu ini.

"Apa jua keputusan nanti dan siapa jua yang dilantik sebagai menteri besar, rakyat harus akur pemilihan yang dibuat," katanya.

Bernama memetik Ayub sebagai berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa pun yang didapati membuat hasutan berhubung isu itu dalam apa jua bentuk termasuk SMS, menaikkan kain rentang, risalah ataupun percakapan yang boleh menganggu-gugat keamanan negeri.

Beliau berkata keadaan keselamatan di Terengganu secara keseluruhannya aman dan terkawal.

Semalam, polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang berunsur hasutan mengenai pelantikan menteri besar Terengganu di Jalan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi, keempat-empat mereka yang menaiki sebuah kenderaan ditahan ketika cuba memasang kain rentang itu, antaranya bertulis 'Daulat Tuanku Selamatkan Terengganu Darul Iman' serta 'Daulat Tuanku, Rakyat Berdiri Di Belakang DYMM Tuanku'.

Kesemua lelaki itu ditahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.