BERITA

Khir nafi jual tanah pada PKNS

Syed Jaymal Zahiid

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Mac 2008, 1:27 tengahari

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menafikan dakwaan bahawa beliau telah mengaut keuntungan jutaan ringgit dalam satu urusan jualan tanah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

khir toyo selangor bn pc 120308 happy Dr Mohd Khir menyifatkan tuduhan tersebut sebagai "tidak masuk akal" dan berkata beliau telah mengarahkan peguamnya supaya membuat laporan polis secepat mungkin.

Beliau akan menimbang mengambil tindakan undang-udang sebaik sahaja mereka yang bertanggungjawab membuat tuduhan tersebut dikenal pasti.

“Ia tidak masuk akal. Saya tidak akan berdiam diri dan membiarkan tuduhan seumpama itu mencemarkan reputasi saya," katanya kepada Malaysiakini .

Dr Mohd Khir menjadi sasaran SMS yang mendakwa kerajaan baru PKR-DAP-PAS telah menemui dokumen-dokumen yang membuktikan tuduhan tersebut.

Bekas menteri besar itu dikatakan telah membeli sebidang tanah di Kajang pada harga RM2 per kaki persegi dan menjualnya balik kepada PKNS pada harga RM22 per kaki persegi.

Ekoran itu, beliau didakwa telah mengaut keuntungan sebanyak RM59 juta hasil jualan tanah tersebut.

SMS itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus lokasi tanah terbabit.

Selain Dr Mohd Khir, dakwaan tersebut turut mengaitkan bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor. Semuanya didakwa menerima RM1 juta daripada urusan jualan tanah tersebut.

Kerajaan baru siasat

Seorang pegawai kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan tersebut.

“Kita juga turut menerima SMS tersebut. Pada masa ini, tumpuan kita adalah untuk memuktamadkan pemilihan barisan exco. Apabila selesai, kita akan siasatan perkara tersebut," kata Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia.

PKNS, ketika dihubungi, turut menafikan ia terbabit dalam urusan penjualan tanah yang didakwa itu.

Seorang pegawai kanan PKNS cawangan Bangi, yang mempunyai bidang kuasa bagi daerah Kajang berkata, tidak ada sesiapa pun yang membeli tanah seumpama itu.

"Kita boleh mengesahkan bahawa tiada sebarang tanah yang dibeli oleh PKNS untuk tujuan pembangunan di Kajang," kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Di samping isu tanah tersebut, Dr Mohd Khir juga menjadi asaran dakwaan bahawa beliau telah memusnahkan dokumen-dokumen kerajaan pada malam hari pengundian selepas mengetahui BN tewas kepada pembangkang.

Beliau bagaimanapun telah menafikan berbuat demikian dan mendakwa kerajaan pimpinannya sentiasa telus dan bersih serta "tiada apa yang hendak disembunyikan". Berita asal

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.