Sesiapa boleh bertanding, kata Najib
Dalam Umno, sesiapa sahaja boleh menawar diri bertanding sebarang jawatan parti selagi ia mengikut saluran dan peruntukan dalam peruntukan parti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, katanya, selaku timbalan presiden Umno, beliau tetap menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden parti.
Najib menegaskan demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga ketua bahagian Umno Gua Musang, bertanding jawatan presiden Umno pada perhimpunan parti yang dijangka pertengahan tahun ini.
Menurut Najib, apa yang penting sekarang ialah memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti selepas pilihanraya umum lalu.
Dalam pilihanraya 8 Mac, BN kembali memerintah tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
BN juga terlepas empat negeri ke tangan pembangkang - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - manakala PAS berjaya mengekalkan pemerintahannya di Kelantan dengan tambahan kerusi.
Utamakan parti
Ditanya sama ada Umno ketika ini sedang bergolak dan berpecah, Najib menjelaskan:
"Ada perbezaan pendapat, tetapi ia tidaklah mencapai satu keadaan yang begitu serius, (sehingga) tak boleh dikawal. Saya percaya ahli-ahli parti sudah matang dan akan mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan yang lain."
Bernama memetik Najib sebagai berkata, Umno ketika ini sebenarnya masih stabil tetapi memerlukan suntikan semangat bagi meneruskan perjuangannya.
"Umno stabil tapi Umno perlukan suntikan semangat, mesti berasa yakin akan perjuangan kita, yakin bahawa kita boleh menebus semula kekalahan kita dan yakin juga tentang masa depan Umno sebagai teras kepada pemerintahan kita," katanya kepada pemberita di Pekan.
"Walaupun kita telah mengalami satu kejutan baru-baru ini tapi yang penting apa yang kita patut lakukan selepas kejutan itu.
"BN pun sama, setiap parti komponen BN mesti menilai kemampuan dan kelemahan masing-masing, mesti melihat apakah punca mereka tidak dapat sokongan pengundi dan apa yang harus mereka lakukan selepas ini," katanya.

