Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihanraya kecil jika lompat parti
Diterbitkan:  Mar 22, 2008 5:35 PM
Dikemaskini: 9:05 PM

Parti Gerakan mencadangkan supaya pilihanraya kecil diadakan sekiranya wakil rakyat yang telah dipilih oleh pengundi melompat parti.

Naib presidennya Datuk Dr S Vijayaratnam berkata wakil rakyat yang melompat parti telah mengkhianati keyakinan pengundi.

"Jika mereka berbuat demikian, maka satu pilihanraya kecil hendaklah diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

malaysia general election vote ballot parties Beliau juga menegaskan, sudah sampai masanya bagi Dewan Rakyat membahas dan meluluskan satu undang-undang untuk menghalang wakil rakyat melompat parti.

"Ini adalah untuk melindungi kepentingan pengundi yang memilih mereka, dan berdasarkan kepada parti politik yang mereka wakili ketika pilihanraya," tambahnya.

Beliau juga berkata, hujah bahawa rakyat mengundi memilih calon dan bukannya parti, adalah tidak benar.

Majoriti dua pertiga

Katanya, ini kerana ramai pengundi yang tidak kenal pun calon yang mereka undi.

Walaupun tidak menyebut dalam kenyataannya itu, tetapi Dr S Vijayaratnam dipercayai merujuk kepada pelbagai laporan yang menyebut kemungkinan ada wakil rakyat yang akan melompat parti.

Gejala ini ekoran keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan BN kembali memerintah tetapi gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN memperolehi 140 kerusi - kurang lapan kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga. Manakala barisan pembangkang pula mendapat 82 kerusi.

BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada pembangkang, manakala PAS pula berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan.

Kecuali Kelantan dan Pulau Pinang, kerajaan negeri Kedah, Selangor dan Perak diperintah oleh kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS tanpa majoriti dua pertiga.

Di samping itu, kerajaan BN di Negeri sembilan juga gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.

Sementara itu, Bernama melaporkan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), senator Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang khusus untuk meletakkan noktah bagi perbuatan melompat parti.

Katanya, perbuatan ahli politik yang bertanding mewakili parti tertentu dan bertukar ke parti lain apabila menang merupakan perbuatan amat tidak bermoral walau apa pun alasannya.

"Kita tidak boleh membenarkan orang bertanding satu parti, buat janji macam-macam untuk rakyat percaya dan apabila menang, lompat ke parti yang lain.

"Pada saya, (tindakan) ini tidak ada integriti, saya harap kerajaan boleh mengadakan undang-undang khas, sudah sampai masa kita ada Undang-undang Antilompat Parti supaya tidak timbul lagi perkara seperti ini," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Kota Bharu hari ini.

Tambahnya, walaupun perbuatan itu bukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan, ia bagaimanapun memberi kesan negatif kepada pentadbiran negara.

ADS