Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini mengesahkan ramai pemimpin Pemuda Umno menghubunginya bagi menyatakan keinginan untuk menyertai pergerakan itu.

pkr youth pc 230308 samsul iskandar mat akin "Saya mengesahkan ramai ketua Pemuda Umno bahagian terutama di negeri yang parti itu menghadapi masalah berminat untuk menyertai AMK.

"Ketua Pemuda Umno bahagian dari Selangor, Terengganu dan Perlis menyatakan mereka mahu berjumpa dengan AMK kerana mereka tidak puas hati dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau juga mendakwa 15 atau 16 ahli parlimen BN bersedia untuk berpindah kepada parti-parti pembangkang atas alasan hilang keyakinan pada kepemimpinan Abdullah.

Hadir sama, naib ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ketua penerangan AMK Lau Tek Hai dan ketua AMK Selangor, Halimmey Abu Bakar.

Shamsul Iskandar berkata, pihaknya sedia menerima kemasukan pemimpin terbabit dengan syarat mereka sedia menerima agenda perjuangan PKR.

Katanya, ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap PKR sangat tinggi terutama dengan wawasan yang dibawa oleh ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar menafikan AMK cuba membeli ahli parlimen BN atau Umno supaya menyertai PKR.

"Isu PKR membeli ahli parlimen BN, Umno telah dimulakan oleh setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor setelah melihat kemenangan besar pembangkang khususnya PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu," katanya lagi.

Dalam isu tersebut, AMK memberi tempoh 14 hari kepada bekas menteri pelancongan itu untuk mengemukakan bukti konkrit mengenai tuduhan tersebut.

Shamsul Iskandar berkata, Tengku Adnan cuba memalitkan imej buruk terhadap parti alternatif dengan mendakwa ia sanggup menggunakan taktik kotor, termasuk mengamalkan rasuah politik.

"Sekiranya beliau enggan atau gagal mengemukakan bukti atau tidak membuat permohonan maaf secara terbuka, AMK akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap fitnah beliau itu," katanya lagi.

Shamsul Iskandar berkata, pendedahan Anwar bahawa ramai ahli parlimen BN atau Umno menghubungi beliau, terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zaid Ibrahim membuat cadangan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menghalang wakil rakyat melompat parti.

AMK, katanya, menolak pindaan yang sebegini dan sebaliknya mencadangkan agar reformasi menyeluruh diadakan terhadap sistem pilihnaraya di negara ini.

"Mereka perlu menghormati hak individu (wakil rakyat)," katanya sambil menambah tiada wakil rakyat PKR yang ingin melompat kepada parti lain.

pkr youth pc 230308 khairul anuar Sementara itu, Khairul Anuar berkata, PKR bertindak mengurung wakil rakyat parti itu selepas kemenangan besar kerana faktor keselamatan.

Katanya, wakil rakyat PKR berada dalam ketakutan dan menghubungi pemimpin parti bagi mendapatkan nasihat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan bahawa wakil rakyat PKR telah dikurung bagi mengelak mereka melompat menyertai BN.

Lau pula mendakwa, ada pihak tertentu yang cuba menjadi orang tengah bagi orang ramai menjadi ahli PKR.

Ini, katanya ekoran daripada kesukaran orang ramai mendapatkan borang bagi menjadi ahli parti itu berikutan kemenangan besar PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Orang ramai yang mahu menjadi ahli PKR boleh memuat turun borang dari internet dengan bayaran RM2 untuk ahli biasa dan RM200 ahli seumur hidup.

"Kita bimbang ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjejaskan nama baik parti (PKR)," katanya.

ADS