Dr M: Isu lantik MB perlu dijelaskan
Isu campur tangan Raja-raja Melayu dalam pelantikan menteri besar perlu dijelaskan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Raja-raja Melayu tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya, mesti ada sebab-sebab yang tertentu untuk baginda berbuat demikian.
"Ini kerana tindakan sedemikian rupa telah menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai, apakah ia bertentangan dengan perlembagaan negara.
"Penjelasan ini perlu supaya orang ramai tidak terus curiga terhadap tindakan Raja-raja Melayu dalam isu pelantikan menteri besar," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai tulisannya dalam sebuah tempatan semalam yang mengulas tindakan beberapa Raja dalam pelantikan menteri besar, khususnya di Terengganu dan Perlis.
Sebelum itu, beliau menghadiri majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sebuah hotel di ibu negara.
Pemilihan Umno
Bekas perdana menteri itu berkata, Raja-raja Melayu adalah orang yang yang sangat baik dan tidak menimbulkan masalah kepada pentadbiran negara.
"Kita telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun dan telah mempunyai empat orang perdana menteri, sepatutnya (isu itu) tidak berbangkit lagi," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga ditanya sama ada jawatan-jawatan utama seperti presiden dan timbalan presiden Umno perlu ditandingkan dalam perhimpunan Umno, Disember depan.
Menurutnya, jika ahli mahu perubahan, jawatan tersebut perlu dipertandingkan untuk memilih pucuk pimpinan baru.
"Saya fikir ahli-ahli (Umno) mahu perubahan dalam pucuk pimpinan parti tetapi terpulang kepada merekalah," katanya lagi.
Tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini telah mengisytiharkan kesediaan untuk bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan berlangsung antara 16 hingga 20 Disember depan.

